Latarbelakang
Sogoshosha atau syarikat
perdagangan am adalah satu konsep yang diperkenalkan di negara Jepun. Untuk
mencapai taraf sogoshosha, sesebuah syarikat perdagangan mestilah memenuhi
tiga ciri penting iaitu mempunyai rangkaian antarabangsa, mengendali barang
dagangan yang banyak dan memainkan peranan utama di bidang perdagangan luar.
Di negara Jepun 'Sogoshosha' adalah merupakan satu panggilan/title yang
diberikan kepada beberapa syarikat perdagangan am yang terkenal yang telah
mencapai pusingan sebanyak US$20 billion setahun. Adalah tidak dapat
dinafikan bahawa peranan yang dimainkan oleh sogoshosha telah diiktirafkan
sebagai satu dari sebab-sebab negara berkenaan mencapai kejayaan yang
cemerlang di bidang perdagangan luar. Pengalaman negara tersebut telah memberi
inspirasi kepada beberapa buah negara membangun termasuk Malaysia, untuk
menubuhkan sogoshosha masing-masing sebagai institusi bagi memajukan ekspot
mereka.
Rasional
Berdasarkan jangkaan kadar
pertumbuhan di negara-negara perindustrian dan juga perdagangan antarabangsa
yang lembab serta langkah perlindungan yang semakin meluas, Malaysia perlu
mencari strategi baru di bidang perdagangan luar. Di masa yang sama,
usaha-usaha mempercepatkan perkembangan ekonomi negara. Pencapaian matalamat
ini memerlukan Malaysia memulakan strategi menggalakkan ekspot keluarannya
secara besar-besaran. Oleh itu, strategi pemasaran barang untuk diekspot
mestilah dirangka dengan teliti bagi mengatasi halangan dan sekatan
yang ada.
Penubuhan sogoshosha adalah diharapkan sebagai satu daripada
strategi membantu negara dalam pemasaran barang ekspot. Sogoshosha ini juga
akan menjadi alat untuk mendapat maklumat strategik mengenai pasaran-pasaran
ekspot dan kontrak kerja di luar negeri menerusi rangkaian antarabangsa.
Objektif
Sebagai institusi yang akan
membantu Malaysia di bidang perdagangan antarabangsa, sogoshosha Malaysia
ditubuhkan dengan objektif-objektif berikut:-
(a) Menggalakkan ekspot
tradisional ke pasaran bukan tradisional dan juga kepada
pengguna-pengguna baru termasuk dipasaran tradisional.
(b) Menggalakkan ekspot bukan tradisional. (c) Mengembangkan peluang-peluang antarabangsa dari segi menggalakkan pelaburan secara usahasama di sektor industri di Malaysia untuk keperluan pasaran dalam dan luar negeri. (d) Menggalakkan pemindahan pengetahuan dan teknologi baru. (e) Menggalakkan ekspot tak ketara (invisible) Malaysia di luar negeri. Strategi Pelaksanaan
Strategi pelaksanaan konsep
sogoshosha ini adalah dilakukan secara menyeluruh selaras dengan dasar-dasar
baru kerajaan seperti Persyarikatan Malaysia. Malah sogoshosha adalah
dianggap sebagai peringkat permulaan bagi pencapaian matalamat Persyarikatan
Malaysia.
Kerajaan sedang merangka satu
definasi tetap mengenai sogoshosha dan peraturan-peraturan mengenainya.
Beberapa kemudahan-kemudahan dan bantuan adalah dalam pertimbangan untuk
diberi kepada syarikat sogoshosha tanpa menggangu atau mengenepikan syarikat
perdagangan am yang lain. Pertimbangan sedang dibuat supaya galakan-galakan
cukai dan kewangan diberikan kepada syarikat yang terlibat, yang mana
diantara lainnya termasuk:
(a) Galakan Kredit
Diberikan kepada syarikat tempatan yang menghadapi masalah kewangan
untuk melaksanakan kegiatan ekspot di luar negeri.
(b) Galakan Cukai
Misalnya elaun galakan ekspot dan lain-lain pengecualian cukai di
bawah Akta Galakan Pelaburan 1968, Akta Kastam 1977 dan Akta Eksais 1976.
(c) Lain-lain Galakan Serta Khidmat Sokongan
Misalnya penglibatan Pejabat Perusahaan Perdagangan Malaysia di luar
negeri dan sebagainya.
Dalam menyediakan galakan di atas, ianya akan diberikan kepada syarikat yang berjaya membuktikan keupayaan mereka untuk meningkatkan ekspot barangannya dan juga berjaya mempelbagaikan ekspot, terutama ke pasaran bukan tradisional.
Penutup
Bagi mencapai kejayaan dalam
pelaksanaan dasar ini di masa depan, Malaysia mesti bekerja keras untuk
menghadapi cabaran-cabaran dan mengatasi masalah yang timbul. Sekiranya
berjaya, kesan 'synergy' yang diperolehi daripada penubuhan sogoshosaha ini
pasti akan dapat membantu mempertingkatkan perkembangan perindustrian dan
ekonomi negara. Dalam melaksanakan strategi sogoshosha, perhatian hendaklah
diambil agar kelonggaran cukai dan bantuan kewangan tidak bercanggah dengan
peraturan yang dikenakan oleh GATT dan negara-negara pengimpot.
|