Latarbelakang
Kemelesatan
ekonomi dunia dalam tahun-tahun 1980 dan 1981 mula memberi kesan sepenuhnya
kepada ekonomi negara dalam suku tahun pertama 1982. Dengan itu dasar-dasar
ekonomi perlu digubal bagi menjamin kegiatan-kegiatan ekonomi berjalan lancar
dan menyokong pertimbangan dalam konteks pasaran ekspot yang meleset. Satu
daripada langkah-langkah tersebut ialah dasar mengurangkan perbelanjaan awam
yang dilancarkan dalam pertengahan tahun 1982.
Rasional
Sektor
awam berkembang dengan pesatnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua dan
Rancangan Malaysia Ketiga. Perbelanjaan sektor awam meningkat daripada $3,468
juta dalam tahun 1971 kepada $16,998 juta dalam tahun 1980, iaitu kadar
pertumbuhan sebanyak 19.3 peratus setahun. Sebagai nisbah daripada Keluaran
Negara Kasar (KNK) perbelanjaaan awam telah meningkat daripada 27.5 peratus
dalam tahun 1971 kepada 33.2 peratus dalam tahun 1980. Perkembangan pesat ini
adalah mencerminkan dasar Kerajaan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan
pencapaian Dasar Ekonomi Baru.
Pertumbuhan
sektor awam dalam dekad 1970'an berlaku dalam suasana kedudukan kewangan
negara yang mantap. Meskipun terdapat kesan dua krisis minyak kepada
perdagangan antarabangsa dan keadaan inflasi yang tinggi (dalam linkungan 10
peratus setahun), ekonomi negara telah mencatitkan kadar pertumbuhan sebenar
sebanyak 8 peratus setahun dan lebihan terus menerus dalam imbangan
pembayaran disebabkan oleh adanya pengeluaran minyak, harga-harga barangan
yang tinggi dan ekspot buatan yang kukuh.
Namun
demikian, dalam tahun 1980'an pertumbuhan ekonomi negara menjadi
semakin lemah disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang berpanjangan di
samping kelemahan-kelemahan struktur ekonomi negara yang telah wujud setakat
ini. Kadar pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun
kepada 6.4 peratus setahun dalam tempoh 1981-1982 berbanding dengan 8.6
peratus dalam tempoh 1976-1980. Kedudukan ekonomi yang lembab ini telah
menyebabkan defisit yang banyak dalam belanjawan Kerajaan dan dalam akaun
semasa imbangan pembayaran. Jumlah defisit Kerajaan persekutuan meningkat
daripada $7.1 billion atau 14 peratus KNK dalam tahun 1980 kepada $11.2
billion atau 18.9 peratus KNK dalam tahun 1982. Tindakan Kerajaan untuk
mendapatkan pinjaman dari luar negeri bagi menampung kekurangan sumber
kewangan negara telah menaikkan hutang awam, daripada $4.9 billion pada akhir
tahun 1980 kepada $13.2 billion pada akhir tahun 1982. Jika dimasukkan
hutang-hutang lain yang berunsur daripada pinjaman Kerajaan-kerajaan negeri
dan badan-badan berkanun yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan, jumlah
hutang negara adalah semua sekali bernilai $24.3 billion dalam tahun 1982
atau 41.2 peratus KNK. Defisit akaun semasa imbangan pembayaran meningkat
kepada $7,825 juta dalam tahun 1982 (iaitu 13.4 peratus daripada KNK)
berbanding dengan $5,477 juta dalam tahun 1981 (iaitu 10.1 peratus
daripada KNK).
Selepas
mengambil kira kedudukan ekonomi negara, pengurangan perbelanjaan awam
merupakan satu langkah yang mesti dibuat kerana dalam keadaan kemelesetan
yang serius dan berpanjangan seperti yang terdapat pada masa ini,
langkah-langkah 'counter-cyclical' adalah terhad dan tidak dapat dilakukan
dengan berkesan selagi kelemahan-kelemahan dalam struktur ekonomi belum di
atasi.
Objektif
Dalam
konteks kedudukan ekonomi yang meruncing, dasar awam sewajarnya ditumpukan
kepada mengukuhkan asas-asas ekonomi di samping mengawal kadar inflasi dan
memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara. Dasar bagi mengurangkan
perbelanjaan awam adalah dirangka dengan tujuan-tujuan seperti di bawah ini:-
(a)
Untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan selaras dengan
sumber-sumber yang ada; (b) Untuk mengurangkan defisit belanjawan Kerajaan ke tahap yang selaras dengan pengurusan ekonomi yang berhati-hati; (c) Untuk mengawal pertumbuhan hutang awam supaya tidak menjejaskan kedudukan imbangan pembayaran negara dan kadar pertukaran asing. Strategi Pelaksanaan
Bagi
melaksanakan dasar ini, Kerajaan telah mengkaji semula skop, kekesanan dan
faedah-faedah perbelanjaan sektor awam meliputi bukan sahaja perbelanjaan
Kerajaan Persekutuan tetapi juga Badan-Badan Berkanun dan
Perbadanan-Perbadanan Awam yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Agensi-agensi adalah diminta untuk mengkaji balik keperluan-keperluan mereka,
keutamaan dan faedah-faedah program-program selaras dengan kedudukan kewangan
yang terhad, terutamanya projek-projek pembangunan yang lazimnya melibatkan
kandungan impot yang tinggi. Hanya projek-projek yang dapat menyumbang kepada
perkembangan ekonomi dan pencapaian matlamat DEB sahaja akan dilaksanakan.
Lanjutan
daripada strategi di atas, Kerajaan juga telah membekukan pengisian
jawatan-jawatan kosong dan pengambilan kakitangan baru. Jawatan-jawatan awam
yang sedia ada juga akan dikaji semula bagi memastikan tidak ada
jawatan-jawatan yang bertindihkan dari segi bidang kerja. Jawatan-jawatan ini
jika dimansuhkan tidak akan menjejaskan perkhidmatan awam keseluruhannya.
Satu
lagi langkah yang diambil untuk mengurangkan perbelanjaan awam ialah
pengawalan ke atas agensi-agensi di luar belanjawan memandangkan
agensi-agensi tersebut mempunyai pengaruh yang besar kepada kewangan
Kerajaan.
Selain
daripada itu, langkah-langkah bagi memperkemaskan operasi pentadbiran awam
merupakan sebahagian daripada strategi perlaksanaan. Ini termasuk
meningkatkan kekesanan sistem pengawalan belanjawan yang ada (iaitu Sistem
Belanjawan Program Prestasi) dan pengenalan sistem-sistem baru seperti
'micro-accounting'.
Satu
lagi langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan awam
ialah untuk mengswastakan beberapa kegiatan Kerajaan di bawah dasar
pengswastaan.
Penutup
Sungguhpun
ekonomi negara pada masa ini tegap dan stabil, langkah-langkah untuk
mengukuhkan kedudukan kewangan awam dan imbangan pembayaran perlu diteruskan.
Kawalan ketat ke atas perbelanjaan awam perlu ditekankan.
|