Latarbelakang
Daya pengeluaran dihuraikan oleh
pelbagai pakar atau penulis dengan pelbagai cara. Satu daripada takrif-takrif
daya pengeluaran yang diketengahkan ialah nisbah di antara jumlah pengeluaran
dan faktor-faktor pengeluaran. Ada juga yang mentakrifkannya sebagai
pengukuran nilai barang yang di keluarkan dengan kos yang rendah. Daya
pengeluaran juga telah ditakrifkan sebagai nisbah hasil dan jumlah kos buruh.
Ini bermakna daya pengeluaran tidak serupa dengan jumlah pengeluaran dan
peningkatan daya pengeluaran tidak semestinya dicapai melalui peningkatan
jumlah pengeluaran semata-mata.
Pada masa ini, kadar pertumbuhan
ekonomi dunia telah mengalami kemerosotan dan ini disertai pula dengan kadar
pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang lembab. Oleh itu untuk mencapai
kadar perkembangan ekonomi yang berterusan di dalam suasana yang mencabarkan
ini, setiap negara baik negara perindustrian ataupun negara membangun seperti
Malaysia perlulah meningkatkan pendapatan masing-masing ke tahap yang paling
maksima. Satu daripada pendekatan yang sesuai bagi mencapai matlamat ini
ialah melalui peningkatan daya pengeluaran negara yang mana ianya
menglibatkan kedua-dua sektor awam dan sektor swasta serta meliputi semua jenis
dan peringkat pekerjaan.
Rasional Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia memerlukan penambahan hasil pendapatan yang meningkat supaya kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dapat dicapai. Dalam konteks ini pengembelingan tenaga daripada sektor awam dan swasta adalah diperlukan. Di samping itu kedua-dua sektor ini perlu juga meningkatkan daya pengeluaran bagi menentukan sumber-sumber ekonomi negara digunakan dengan cara yang optima.
Daya pengeluaran sektor awam
adalah penting untuk menjayakan pencapaian matlamat pembangunan negara.
Dengan demikian ianya perlu terus dipertingkatkan memandangkan bahawa
tanggungan perbelanjaan sektor ini adalah tinggi. Di samping itu memang
terdapat persoalan terhadap mutu perkhidmatan yang diberi.
Peningkatan daya pengeluaran di
sektor swasta adalah sama pentingnya. Untuk mempastikan sektor ini dapat
bersaing di pasaran bebas antarabangsa, buat masa ini kebanyakan syarikat
besar dalam negara terutama sektor pembuatan, diberi bantuan dan sokongan
sama ada dari segi perlindungan pasaran atau galakan cukai. Sekiranya
peningkatan daya pengeluaran ini tidak diusaha, kecekapan dan keupayaan
sektor perindustrian untuk bersaing sama ada di dalam atau di luar negeri
mungkin terhad apabila perlindungan atau galakan yang diberi oleh Kerajaan
tamat.
Objektif
Matlamat peningkatan daya
pengeluaran negara bolehlah dikategorikan kepada berikut:-
a) Untuk meninggikan kadar
pertumbuhan ekonomi dan menyusun semula struktur dan
ketidakseimbangan ekonomi dalam negara.
(b) Untuk mempastikan penggunaan sumber-sumber negara dengan optima dan mengelakkan pembaziran yang merugikan. (c) Untuk memperkukuhkan asas perindustrian supaya ianya dapat bersaing di pasaran bebas antarabangsa dengan berkesan. Strategi Pelaksanaan
Secara kasar pendekatan untuk
meningkatkan daya pengeluaran negara dilaku melalui beberapa cara-cara
berikut:-
(a) Pembaikan kepada Sistem
dan Organisasi
Cara ini melibatkan pembaikan keseluruhan terhadap sesuatu organisasi dari
segi objektif, strategi dan tatacara kerja, sistem maklumat, sistem fail dan
lain-lain. Pendekatan ini didapati perlu untuk menghapuskan kelambatan kerja
(bottleneck), pembaziran masa, peranan yang bertindih (overlapping),
penyelarasan yang kurang memuaskan, kekurangan perancangan dan sebagainya.
Latihan di peringkat pengurusan dan kakitangan rendah di bidang-bidang
tertentu juga diadakan di dalam pelaksanaan strategi ini.
(b) Penggunaan teknologi yang sesuai
Dalam menggalakkan penggunaan teknologi yang sesuai, penekanan dibuat kepada
pemindahan teknologi dengan berkesan supaya negara kurang bergantung kepada
sumber-sumber teknologi dari luar negeri. Teknologi yang dimaksudkan ini
bukanlah terhad kepada jentera dan kemahiran sahaja tetapi juga pengurusan
organisasi yang termoden.
(c) Penerapan nilai baru
Strategi ini melibatkan penyemaian di kalangan pemimpin-pemimpin,
pengurus-pengurus, pekerja-pekerja dan rakyat terhadap nilai-nilai dan etika
kerja yang menitikberatkan kerja bersungguh-sungguh, kesetiaan kepada
perusahaan, dedikasi dan sikap berdikari. Antara lain strategi ini
mengutarakan slogan Kepimpinan melalui teladan, Bersih, Cekap dan Amanah dan
Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam.
(d) Dasar-dasar baru
Pada masa ini Kerajaan telah menggubalkan dasar baru yang boleh membantu
pencapaian matlamat peningkatan daya pengeluaran. Di antara dasar-dasar yang
penting ialah:-
(i) Dasar Memandang ke Timur Usaha untuk mengubah sikap pekerja dan majikan ke arah pencapaian yang baik serta kepentingan golongan yang mana akan meningkatkan daya pengeluaran di dalam masyarakat Malaysia. (ii) Dasar Perindustrian Berat Menggalakkan serta menggunakan kemajuan teknologi yang sesuai dan mengandungi cara-cara yang baik dan moden yang cekap dan berkesan.
(iii) Dasar
Pengswastaan
Mengswastakan sebahagian daripada
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak awam bagi menggalakkan
persaingan dan menambahkan daya pengeluaran agensi berkenaan.
(iv) Dasar Persyarikatan Malaysia
Mewujudkan suasana kerja yang
harmoni di antara sektor awam dan sektor swasta.
(v) Dasar Sogoshosha
untuk mendapatkan 'synergy' dalam
aktiviti perdagangan luar.
(vi) Dasar Pertanian Negara
Untuk menggubal strategi dan halacara baru dalam mencapai pembangunan
pertanian dan luar bandar.
Penutup
Untuk mencapai matlamat
peningkatan daya pengeluaran, ianya bukanlah melibatkan proses yang senang
dan mengambil masa yang pendik. Pencapaiannya memerlukan daya usaha yang
gigih dan menyeluruh bukan sahaja dari segi menggubalkan dasar tertentu
tetapi juga mendapatkan kerjasama keseluruhan masyarakat di dalam negeri.
Oleh itu peningkatan daya pengeluaran hendaklah dianggap sebagai satu
pendekatan atau falsafah dalam pengurusan dan nilai kerja yang sewajarnya
berlaku secara berterusan.
|