Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran


Latarbelakang 
Di dalam Perlembagaan Malaysia, Islam ialah agama rasmi Negara dan hak mengendalikan hal ehwal Islam diberikan kepada Raja-raja dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Sungguhpun demikian, penganut-penganut agama lain adalah bebas mengamalkan agama masing-masing.
Penglibatan Raja-raja, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam bidang ini bermula sebelum merdeka lagi. Antara aktiviti dan program penting yang dikelolakan oleh mereka termasuklah sistem sekolah agama, sistem undang-undang mahkamah syariah, pembinaan surau dan masjid, pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan Baitulmal. Dalam tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, aktiviti dan program ini telah dipergiat dan ditambah pula dengan perkara-perkara baru, antaranya termasuklah tilawah Al-Quran yang telah mengharumkan nama negara di kalangan negara-negara Islam.
Sementara langkah-langkah ini sedang dikelolakan, dunia Islam sejagat telah bangun semula, didorong oleh satu kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan peribadi. Kesedaran baru ini, yang menjadi ketara dalam dekad tujuh puluhan, juga dirasai di Malaysia. Dalam keadaan ini, Kerajaan Persekutuan sendiri telah terdorong untuk meluas dan mengukuhkan programnya mengenai hal ehwal Islam. Sehubungan dengan ini, usaha-usaha baru telah diambil, antaranya termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan usaha-usaha ini, satu lagi usaha yang dipanggil 'Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran' telah diperkenalkan pada tahun 1985.
 
Rasional

Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran adalah sebahagian daripada pelbagai usaha Kerajaan Malaysia untuk memasukkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Rasional Kerajaan memberi perhatian kepada nilai-nilai khususnya nilai-nilai Islam ialah:
"Dalam usaha untuk memelihara maruah Warganegara Malaysia, maka perlulah ia mempunyai satu identiti yang kukuh. Dalam konteks ini, unsur yang terpenting sekali dalam pembentukan identiti Warganegara Malaysia ialah nilai. Ia merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan kelahiran sesebuah masyarakat yang disegani. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yang tertentu akan mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang sentiasa berusaha mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai nilai-nilai yang kukuh."
Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama dan menjalani cara hidup yang berbeza-beza, pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan. Tanpa nilai yang universal ini rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung nilai-nilai lain yang sangat asing bagi masyarakat Malaysia. Ini akan menyebabkan kesetiaan rakyat Malaysia serta identitinya sebagai satu warganegara akan menjadi kabur dan maruah bangsa tidak dijunjung tinggi dan mungkin mereka akan memperkecil-kecilkan negara dan bangsa sendiri. Dengan itu rakyat Malaysia haruslah mempunyai identitinya sendiri dengan setiap individu, organisasi dan semua sektor yang melaksanakan pelbagai aktiviti menjalankan kerja yang boleh memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara. Urusan-urusan yang dijalankan dengan penuh rapi, teliti, amanah dan rasa bertanggungjawab boleh membawa kepada pembentukan identiti yang diperlukan oleh sesebuah negara seperti Malaysia ini. Tanpa penerimaan nilai-nilai hidup yang mulia tidak mungkin identiti yang membanggakan dapat dicapai.
Sebagaimana yang sedia dimaklumi 'identiti' tidak boleh pisahkan daripada nilai. Persoalannya ialah; "Apakah nilai yang boleh digunakan bagi mengukuhkan sesuatu identiti?" Ramai yang berpendapat masalah nilai lebih sesuai diserahkan kepada individu-individu dan komuniti-komuniti yang berkenaan untuk menentukannya. Tetapi ini tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia akan  berakhir  dengan kekeliruan yang berterusan di dalam masyarakat. Oleh itu adalah sangat wajar sekiranya dijelaskan secara langsung nilai yang perlu diterima dan diterapkan dalam masyarakat. Bagi masyarakat Malaysia adalah tepat sekiranya nilai itu diasaskan kepada  kehendak  dan pengajaran Islam bagi membentuk sebuah negara yang produktif dan bermoral tinggi. Mungkin pada awalnya ia akan dipersoalkan menerusi kacamata agama atau budaya lain kerana memilih nilai yang diasaskan kepada satu agama sahaja. Tetapi dengan merenung kembali dan memahami negara Malaysia itu sendiri, setiap rakyat akan mendapati dan menyedari bahawa langkah untuk memilih nilai Islam itu adalah langkah yang wajar. Sebaliknya pula mereka yang tidak memahami tentang kedudukan Negara Malaysia dari segi geografi, sejarah, kebudayaan, perlembagaan dan lain-lainnya akan terus mempertikaikan perkara ini. Walaubagaimanapun, setelah melihat secara objektif, maka tidak akan ada satu sebab pun untuk menolak bahawa nilai yang berasaskan kepada agama Islam itu ialah yang paling sesuai untuk membangunkan masyarakat Malaysia umumnya. Nilai-nilai Islam itu  boleh menjadi penggerak ke arah membanteras unsur-unsur keburukan yang menjadi musuh utama negara ini seperti fahaman komunis, kemiskinan, rasuah, kecuaian, kejahilan,  penyelewengan  dan sebagainya yang sentiasa mengancam usaha-usaha perpaduan rakyat dan  pembangunan negara.
Al-Quran juga telah menamakan agama Islam sebagai agama yang bernilai. Penamaan ini memberikan keyakinan kepada semua orang bahawa kandungan yang terdapat di dalam kitab suci Al-Quran itu adalah merupakan nilai-nilai yang mulia kerana ia merupakan bimbingan-bimbingan (hidayah) yang datang daripada Allah s.w.t. dan ditujukan kepada semua manusia, bukan sahaja kepada yang beragama Islam. Di antara bimbingan-bimbingan yang terpenting ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan moral (akhlak). Ini bererti bahawa apa yang dimaksudkan dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran ialah bimbingan pembentukan akhlak yang berfaedah dan berfungsi dalam kehidupan setiap rakyat menuju ke arah ketinggian maruah di samping menanam nilai-nilai yang murni dan membina ke dalam sistem pentadbiran negara.
Pemilihan pentadbiran negara sebagai komponen yang pertama dalam penerapan nilai-nilai Islam adalah antara lain berasaskan tanggungjawab Kerajaan memastikan kelicinan jentera pentadbiran Kerajaan yang merupakan saluran terpenting dalam pelaksanaan sesuatu dasar. Kejayaan rancangan-rancangan yang diatur oleh Kerajaan sebahagian besarnya bergantung kepada penjawat-penjawat dalam perkhidmatan awam. Penghayatan nilai-nilai Islam oleh mereka akan menjamin kelancaran dan kecekapan jentera Kerajaan yang besar dan menghindarkan perbuatan rasuah, penyelewengan dan sebagainya.
Bagi menjayakan pentadbiran Kerajaan, nilai-nilai Islam yang diutamakan boleh diamalkan oleh semua rakyat Malaysia, sama ada mereka Islam atau bukan Islam. Menurut YAB. Perdana Menteri, nilai-nilai yang diutamakan untuk pentadbiran yang boleh diterima oleh orang Islam dan bukan Islam ialah amanah kejujuran, tanggungjawab, rajin, ikhlas, tertib, disiplin, mengutamakan masyarakat lebih daripada diri sendiri, sanggup berkorban, tidak tamak, berpandangan jauh, bermoral dan berkelakuan baik dan lain-lain.

Objektif

Objektif dasar ini adalah seperti berikut:
(i)  Membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti 
      kukuh dan disegani oleh masyarakat lain;
(ii)  Menubuhkan sebuah 'negara bahagia';
(iii) Menghapuskan  sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang 
       dipertanggungjawabkan; dan
(iv) Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.

Berdasarkan kepada objektif-objektif ini adalah jelas bahawa dasar ini bukannya bertujuan mengislamisasikan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, tetapi sebenarnya memupuk amalan nilai-nilai murni yang boleh diterima oleh semua pihak dan golongan kerana agama-agama lain juga menitikberatkan amalan nilai-nilai seperti ini.
Nilai-nilai Islam
Hanya sebelas daripada nilai-nilai Islam yang banyak telah dipilih untuk dijadikan asas dasar ini. Nilai-nilai tersebut ialah:
 Amanah;
 Tanggungjawab;
 Ikhlas;
 Dedikasi;
 Sederhana;
 Tekun;
 Bersih;
 Berdisiplin;
 Bekerjasama;
 Berbudi Mulia; dan
 Bersyukur.

Sebelas nilai ini dipilih kerana ia merupakan unsur-unsur yang boleh diterima sebagai kunci kepada kejayaan dalam menjalankan urusan-urusan kehidupan terutamanya dalam pentadbiran sesebuah negara.
Bagaimanakah nilai-nilai Islam ini boleh dihayati? Berikut ialah takrif/pandangan mengenai sikap dan budaya kerja berdasarkan nilai-nilai Islam yang ingin diterapkan ke dalam pentadbiran awam.
Amanah 
(i)  Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;
(ii)  Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi  menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;
(iii)  Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari mengatasi
kepentingan tugas;
(iv)  Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi
masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja; dan
(v)  Mengutamakan kepentingan awam sebagai teras perkhidmatan.

Tanggungjawab
(i)  Menerima hakikat akauntabiliti akhir adalah terhadap Tuhan, di
samping pekerjaan dan majikan;
(ii)  Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan
buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur;
(iii)  Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja
diperlukan;
(iv)  Bercita-cita untuk tidak mengkhianati kepentingan organisasi/
instutusi/awam dalam menjalankan tugas; dan
(v)  Bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.

Ikhlas
(i)  Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan
  balasan dari manusia;
(ii)  Mempunyai niat bertugas kerana Tuhan, kerana mencari rezeki yang
  halal serta mencari keredhaannya; dan
(iii)  Mengikis sebarang unsur "kepentingan diri" dalam melaksanakan
  tugas sebagai asas pengisian amanah.

Dedikasi

(i)  Kesetiaan yang tinggi kepada tujuan organisasi di bawah
peraturan-peraturan yang ada;
(ii)  Komited kepada sebarang perubahan yang positif dan kepada 
kebaikan;
(iii)  Sedia mengubah sikap demi kebaikan bersama dan tugas;
(iv)  Sedia memulakan pembaikan; dan
(v)  Berinisiatif dan proaktif dalam melaksanakan tugas harian.

Sederhana
(i)  Menjamin perseimbangan equilibrium dalam diri dan tugas;
(ii)  Keseimbangan dalam membuat keputusan dengan mengambil kira fakta
fakta yang terdapat dalam alam sekitar;
(iii)  Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk 
membaiki cara bekerja;
(iv)  Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-
pihak yang berharap kepadanya; dan
(v)  Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja  sehingga mencapai 
tahap cemerlang.

Tekun
(i)  Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam
tugas dan kehidupan;
(ii)  Berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi;
(iii)  Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk
membaiki cara bekerja;
(iv)  Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-
pihak yang berharap kepadanya; dan
(v)  Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga mencapai
tahap cemerlang.

Bersih

(i)  Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas seharian;
(ii)  Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam sekitar
sebagai satu cara hidup;
(iii)  Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas;
(iv)  Membuat pertimbangan yang teliti dan adil dalam membuat
keputusan;
(v)  Berkhidmat demi kebajikan semata-mata; dan
(vi)  Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan
pemikiran dalam membuat keputusan.

Berdisiplin
(i)   Mengetahui priority dan mengutamakan yang lebih utama;
(ii)  Menilai tinggi masa dan janji;
(iii) Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang; dan
(iv) Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.

Bekerjasama
(i)  Mengamalkan sikap tolong-menolong dalam melaksanakan kerja;
(ii)  Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi
sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan semangat kerjasama;
(iii)  Mengutamakan kepentingan organisasi dan pasukan di tempat kerja
daripada kepentingan peribadi;
(iv)  Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara kepentingan
bersama; dan
(v)  Mengelakkan konflik kepentingan berdasarkan peribadi:
Mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara.

Berbudi Mulia

(i)  Bermanis muka sepanjang masa;
(ii)  Bertimbang rasa dan bertolak-ansur;
(iii)  Menghormati rakan sejawat dan pelanggan/pelawat; dan
(iv)  Sentiasa memulakan 'pertanyaan' dengan tujuan untuk menolong 
pelanggan/pelawat.

Bersyukur
(i)  Bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk menjamin
kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota masyarakat;
(ii)  Berkecenderungan melihat keadaan dengan lebih positif sehingga
menggerakkan untuk lebih berusaha gigih;
(iii)  Menghayati budaya kerja yang bersopan dan tidak bertentangan
dengan kehendak agama (nilai-nilai agama dan kerohanian);
(iv)  Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat;
(v)  Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia;
(vi)  Berkhidmat sebagai ibadah; dan
(vii)  Bercita-cita menjadi manusia yang mempunyai sumbangan yang
banyak kepada masyarkat, negara dan agama.


Penghayatan terhadap nilai-nilai akhlak yang murni dan membina itu akan memudahkan usaha-usaha untuk memajukan berbagai-bagai bidang yang diperlukan oleh sesebuah negara seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi, pembangunan, undang-