Latarbelakang
Dasar
Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato`Seri
Dr. Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan "5th
Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di Hilton Kuala Lumpur. Dasar
ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan
pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara
Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia.
Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa
sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan
teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat.
Rasional
Seperti yang kita sedia maklum, negara Jepun dan Korea adalah merupakan dua
buah negara yang begitu pesat membangun, di beberapa bidang, mereka adalah
lebih maju dari beberapa negara Barat sendiri. Kejayaan kedua-dua negara ini
boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya
dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meninggikan
prestasi pengurusan dan pembangunan sektor awam dan swasta.
Objektif
Objektif
utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan
dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia
yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk meninggikan
kemajuan negara.
Perkara-perkara
yang harus ditumpukan melalui dasar ini ialah 'kerajinan dan disiplin
bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana
pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan
daya pengeluaran (productivity) dan mutu yang tinggi (quality), peningkatan
kecekapan, pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja
am sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak
semata-mata peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka
pendek, dan lain-lain lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada
kemajuan bagi negara kita'.*
Sebagai
sebuah negara yang sedang membangun, nilai-nilai dan etika kerja di atas
perlu diamalkan kerana ianya dapat membantu menjayakan usaha-usaha
pembangunan yang dijalankan.
Dasar
Pandang Ke Timur ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan
dagangannya dengan rakan-rakan yang ada sekarang. Sebaliknya Kerajaan akan
terus memperluaskan lagi perdagangannya dengan mengadakan hubungan dengan
rakan-rakan bukan tradisional di samping terus mengekalkan dan memajukan
hubungan perdagangan yang setia selaras dengan kepentingan negara.
Strategi Pelaksanaan
T.Y.T.
Perdana Menteri Jepun, Encik Nakasone, semasa dalam kenyataan akhbar bersama
dengan Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat
lawatan ke Jepun pada 23hb. hingga 29hb. Januari, 1983 dan kenyataan bersama
Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir dan T.Y.T. Presiden Republik Korea, Encik Chun
Doo Hwan semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Korea Selatan dari
8hb. hingga 14hb. Ogos, 1983 telah menaruh harapan yang tinggi bahawa Dasar
Pandang Ke Timur ini akan mewujudkan kerjasama yang lebih rapat di antara
Malaysia dengan kedua-dua negara itu terutamanya dalam bidang ekonomi,
perindustrian, latihan-latihan teknikal dan akademik, program kemajuan
eksekutif, penyelidikan dan pengurusan.
Selaras
dengan dasar ini, Kerajaan telah menyusun strategi dan program bagi
meningkatkan kecekapan, kekesanan dan penghasilan kerja yang lebih baik di
kalangan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai dan pelajar Malaysia telah
dihantar ke Jepun dan Korea untuk mempelajari selok belok teknikal dan aspek
pengurusan di kedua-dua negara tersebut. Di antara program yang telah
dijalankan adalah seperti berikut:-
a) Perubahan Struktur b) Perubahan Sikap c) Latihan dan Kursus
a)
Perubahan Struktur
i) Kad Perakam Waktu Kerja (Punch Card) ii) Penggunaan Tanda Nama (Name Tag) iii) Penubuhan Pasukan Meningkat Mutu Kerja (QCC) iv) Konsep Pejabat Terbuka v) Perkhidmatan Kaunter/Perkhidmatan Pembayaran Bil Setempat vi) Fail Meja dan Manual Prosedur Kerja b) Perubahan Sikap i) Perkhidmatan Cemerlang ii) Konsep Bersih, Cekap dan Amanah (BCA) iii)Kepimpinan Melalui Teladan (KMT) c) Latihan dan Kursus Latihan dan kursus yang dijalankan di bawah Dasar Pandang ke Timur ini adalah seperti berikut:- i) Latihan Perindustrian dan Teknikal
Tujuan program ini adalah untuk melatih pekerja di bidang teknikal
dalam usaha meninggikan kecekapan dan menerap nilai kerja yang positif dari
Jepun dan Korea dalam meninggikan penghasilan kerja.
ii) Program Pengajian Akademik Tujuan program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Malaysia untuk menuntut ilmu sains dan teknikal di Jepun dan Republik Korea. iii) Program Pengajian Teknikal Program ini adalah menyediakan peluang latihan teknikal lanjutan pada pelajar-pelajar lepasan SPVM dan Politeknik. iv) Program Kemajuan Eksekutif Objektif program ini adalah untuk menyediakan latihan kepada eksekutif-eksekutif dalam mempelajari kaedah pengurusan dan pentadbiran kerajaan dan swasta di Jepun dan Korea. Mereka akan ditempatkan di beberapa firma dan agensi Kerajaan di Jepun dan Korea. Penekanan-penekanan yang di berikan dalam program ini ialah latihan-latihan dalam bidang pengurusan Sogoshosha, Perjawatan, Q.C.C dan pengurusan am. v) Hubungan di antara Institusi-institusi Program ini bertujuan untuk menyalurkan permohonan latihan yang diperlukan oleh Malaysia kepada institusi pengajian tinggi di Jepun dan Korea. vi) Skim Latihan Pembangunan Usahawan Program yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri memberi peluang dan pendedahan, usahawan-usahawan bumiputra terhadap idea baru dan teknologi luar pengetahuan-pengetahuan ini untuk memajukan urusniaga mereka. Program ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan peluang 'business contacts' dengan rakan-rakan perniagaan di sana.
Penutup
Sebagai
kesimpulannya, Dasar Pandang Ke Timur merupakan satu usaha baik dan positif
dari pihak Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan
pembangunan di negara ini. Melalui kajian yang telah dibuat oleh pihak INTAN,
Dasar ini telah memberi kesan yang besar terhadap usaha-usaha di atas dan
seterusnya Dasar ini dapat membantu usaha Kerajaan untuk meninggikan prestasi
dan daya pengeluaran negara ini. Di samping itu ianya boleh menjadi asas
pengwujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.
|