Latarbelakang
Dasar
Pensyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporated ini telah pertama kalinya
diutarakan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Sri Dr.Mahathir Mohamed di waktu
pelancaran Forum INTAN pada 25hb. Februari, 1983. Semenjak itu dasar ini
telah banyak dikupas dan diperbincangkan bukan sahaja oleh media massa
tetapi juga oleh ahli-ahli politik, ahli-ahli perniagaan, pegawai kerajaan
dan juga gulungan intelektual.
Rasional
Dalam
sesebuah negara seperti Malaysia ini terdapat dua sektor utama yang akan
menentukan maju dan mundurnya negara ini, iaitu sektor swasta dan sektor
awam. Kedua-dua sektor ini seharusnya boleh bekerjasama dalam semua bidang
untuk mencapai dan meningkatkan pembangunan dan imej negara ke tahap yang
lebih baik.
Dilihat
sekali imbas sektor swasta adalah menjadi pendokong kepada aktiviti
perdagangan dan ekonomi, manakala sektor awam akan menyediakan dasar-dasar
utama dan menentukan arah serta menyediakan perkhidmatan sokongan yang
tertentu kepada pihak swasta. Dengan ini pihak kerajaan atau awam lebih
merupakan pemberi perkhidmatan kepada syarikat dan perusahaan.
Keperluan
kepada dasar Persyarikatan Malaysia ini ujud hasil dari kesedaran bahawa pada
masa ini terdapat beberapa perkara dan persoalan-persoalan pokok yang menjadi
berasingan atau bertentangan seperti soal matlamat organisasi, perhubungan
peranan dan peraturan di antara pihak awam dan swasta.
Objektif
Persyarikatan
Malaysia bertujuan mengujudkan satu kerjasama yang erat, bermakna dan
berkesan di antara pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam menjayakan
pembangunan negara yang akan membuahkan munafaat yang akan dikecapi oleh
kedua-dua pihak.
Y.A.B.
Perdana Menteri sendiri menerangkan konsep Persyarikatan Malaysia memerlukan
kedua-dua sektor menghapuskan sikap permusuhan dan sebaliknya bersama
berkongsi maklumat, tanggongjawab, cabaran serta memahami polisi, objektif
dan prosediur-prosediur dalam usaha-usaha mempertingkatkan pembangunan
sosial, pentadbiran dan ekonomi negara. Hubungan kerjasama yang erat ini
sebenarnya akan menguntungkan semua pihak di mana dasar-dasar awam akan mudah
difahami, dilaksana dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Keuntungan
yang diperolehi oleh sektor swasta pula akan dapat dikecapi bersama-sama
melalui cukai dan penglibatan sosial secara bersungguh oleh pihak swasta.
Strategi Pelaksanaan
Kesefahaman
dan kerjasama di antara kedua-dua sektor boleh dicapai melalui:
i) Sikap kurang faham terhadap pihak awam dengan pihak swasta perlulah dihapuskan. ii) Pihak awam dan swasta haruslah mempunyai satu persetujuan bagi mencapai matlamat negara. Dengan itu kedua-dua pihak mempunyai matlamat iaitu menjaga maruah negara dan tidak hanya satu pihak sahaja yang akan bersungguh membangunkan negara. iii) Peraturan dan prosediur kerja pihak awam hendaklah dikaji dan diubah di mana perlu dan jika boleh pihak swasta hendaklah dilibatkan dalam menggubal peraturan serta prosediur yang ada. iv) Hubungan di antara Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun di antara satu sama lain hendaklah dipertingkatkan supaya setiap agensi kerajaan mempunyai matlamat kerja dan cara bekerja yang sama. Ini membolehkan pihak swasta mudah menghubungi dan menguruskan kerja-kerja mereka. Dalam hubungan ini, pihak INTAN telah mengadakan beberapa siri forum, seminar dan perbincangan dalam usaha-usaha mendapatkan pandangan-pandangan pertukaran-pertukaran maklumat di peringkat persekutuan dan negeri-negeri. Beberapa syarikat swasta juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan seminar yang serupa.
Dalam
usaha mengujudkan kerjasama yang lebih erat dan penglibatan pihak swasta
dalam penggubalan dasar dan prosediur, secara lebih berkesan, satu Surat
Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 1984 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha
Negara telah dikeluarkan, mengarah supaya semua Kementerian, Jabatan, badan
berkanun dan Pejabat Daerah menubuhkan Perundingan di antara pihak swasta dan
pihak awam.
Selain
dari itu beberapa program-program lain juga telah dijalankan seperti
menempatkan pegawai kerajaan ke syarikat swasta. Sebagai permulaannya seramai
18 orang pegawai telah ditempatkan di British Malaysian Industry and Trade
Association (BMITA) mulai tahun 1984 yang lalu dengan tujuan membolehkan
pegawai-pegawai itu mempelajari selok belok pengurusan sektor swasta
tentangnya dibidang perniagaan, perdagangan dan industri.
Penutup
Dasar
Persyarikatan Malaysia sebenarnya memerlukan perubahan sikap oleh kedua-dua
sektor awam dan swasta untuk memupuk persefahaman dan kerjasama yang lebih
erat agar kesejahteraan rakyat Malaysia akan dapat dipertingkatkan. Ianya
timbul atas kesedaran bahawa kedua-dua pihak sebenarnya adalah sehaluan untuk
menjadikan negara ini lebih maju.
Sesungguhnya
potensi bagi ekonomi Malaysia bertambah maju amatlah besar sekali
memandangkan negara ini kaya dengan sumber asli yang seharusnya
digemblengkan. Dasar Persyarikatan Malaysia ialah untuk menggemblengkan
sumber-sumber ini melalui kerjasama yang padu di antara sektor awam dan
sektor swasta. Sesungguhnya pelaksanaan Dasar Persyarikatan Malaysia yang
berkesan akan dapat memberi sumbangan yang besar ke arah kejayaan lain-lain
dasar awam negara seperti Dasar Perindustrian Negara, Dasar Pertanian Negara,
Penswastaan dan lain-lain.
|