Latarbelakang
Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.
Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di
Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang
teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat
keMalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang
baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.
Rasional
Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.
Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta
perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat
pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang
lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses
interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang
sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan
dunia.
Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, penwujudan
Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga
prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan
iaitu:
(i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi
kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan
Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania)
sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau
budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan
warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh
kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang
menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa
(linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan
di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia,
kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai
keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang
identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang
menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan
rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu
telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.
(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima
Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses
penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan
situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu
unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan
wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung
kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip
Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian
sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan - Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting
dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan
berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam
mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan
fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping
telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung
oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas
adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan
1971.
Objektif
Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu: (i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan; (ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan (iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.
Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui
strategi-strategi berikut:
(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;
(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha
membimbing dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan
seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;
(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan,
kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;
(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan
(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.
Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, penglibatan pihak
lain juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah
Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan
Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan
kebudayaan.
Peranan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan dalam pelaksanaan
matlamat dan strategi dasar ini adalah penting. Antara lain Kementerian ini
menguruskan penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan
pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan.
Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni
oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urusetia perhubungan
kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat bagi
mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan
antarabangsa.
Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan
berkanun yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini
di dalam pengurusan harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak
swasta dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana
badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha pembinaan dan
kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya
membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan.
Penutup
Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi
negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang
kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis
panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta
mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian
pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat.
Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan
cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan
Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan
kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang
melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan
Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
|