Mahkamah Rayuan (2)


Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan pada tahun 1994. Bidangkuasa Mahkamah Rayuan adalah :-
(a) bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya (kecuali keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh pendaftar atau pegawai lain Mahkamah itu dan yang boleh dirayukan kepada seorang hakim Mahkamah itu di bawah undang-undang persekutuan); dan
(b) apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan. (Perkara 121(1B) Perlembagaan Persekutuan)
Mulai daripada 1 Oktober 2006 bilangan Hakim Mahkamah Rayuan telah bertambah kepada 22 orang melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong (Perkara 122A(1) Perlembagaan Persekutuan) Pindaan P.U.(A) 385/2006.
Keanggotaan Mahkamah Rayuan
Perkara 122A(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Mahkamah Rayuan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi (yang digelar "Presiden Mahkamah Rayuan") dan, limabelas orang hakim lain.
Pelantikan Hakim-hakim
Mahkamah Rayuan Perkara 122B (2) dan (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim, Mahkamah Rayuan hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Sebelum memberikan nasihatnya Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Keanggotaan Mahkamah Rayuan
Tiap-tiap prosiding di Mahkamah Rayuan hendaklah didengar dan dibereskan oleh tiga orang Hakim atau oleh apa-apa bilangan ganjil yang lebih besar Hakim sebagaimana yang ditentukan oleh Presiden dalam apa-apa kes tertentu. (seksyen 38 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).
Di dalam Perkara 122A(2) Perlembagaan Persekutuan seseorang hakim Mahkamah Tinggi boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Rayuan jika Presiden Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) oleh Presiden Mahkamah Rayuan selepas berunding dengan Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu.
Persidangan Mahkamah
Mahkamah Rayuan bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya. Walaubagaimanapun Presiden Mahkamah Rayuan boleh, jika didapatinya suai manfaat, mengarahkan supaya apa-apa rayuan didengar pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat di Malaysia (seksyen 39 Akta MAhkamah Kehakiman 1964).