Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung & Luar Bandar


Latarbelakang 
Semasa membentangkan kajian Separuh Penggal rancangan Malaysia Ke IV di Parlimen pada 29hb Mac, 1984 Y.A.B. Perdana Menteri telah menekankan bahawa Kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya bagi memperbaiki keadaan hidup penduduk-penduduk luar bandar. Selanjutnya, beliau menegaskan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan pembangunan luar bandar telah diberi tekanan yang istimewa oleh Kerajaan. Dalam ertikata luas, takrif luar bandar yang dimaksudkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri bukanlah merujuk kepada lokasi dari segi fizikal dan geografi tetapi kepada kawasan-kawasan di mana terdapat petani dan nelayan miskin, penduduk miskin di kampung-kampung baru dan estet-estet. Membangunkan masyarakat miskin sedemikian adalah merupakan pembangunan luar bandar.

Untuk menegaskan lagi pencapaian matlamat ini, Y.A.B. Perdana Menteri telah memanggil satu mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan pada 10hb April, 1984 dengan tujuan menegaskan lagi komitmen Kerajaan serta membuktikan halacara baru dalam pembangunan luar bandar. Halacara baru ini adalah merupakan 'concerted effort' pihak Kerajaan dalam kesungguhannya bekerja bagi memperbaiki masyarakat luar bandar.
 
Rasional


Dasar ini adalah berasaskan kepada:
(a)  Ekoran daripada hasrat Kerajaan untuk melatih dan memupuk pemahaman di kalangan masyarakat kampung mengenai aspek-aspek pelaburan yang merangkumi konsep kos pulangan dan keuntungan;

(b)  Penyemaian pengetahuan kepada penduduk-penduduk di luar bandar supaya mereka dapat menganggap bahawa wang bukan sahaja sebagai satu medium pertukaran tetapi juga alat pelaburan. Oleh itu, adalah didapati perlu mengubah keadaan masyarakat desa supaya menjadi lebih monetised;

(c)  Di zaman moden ini, tidak lagi boleh diterima sistem 'peasantry' atau sistem di mana petani cuba menampung sara hidup dengan memiliki dan mengerjakan tanah sebesar 'kankang kera'. Kerajaan berpendapat bahawa masyarakat petani tidak wajar dijadikan mangsa kepentingan strategi makanan negara. Mereka hendaklah dipelihara daripada nasib yang buruk ini dengan kesanggupan mereka menukar, secara beransur-ansur cara dan pergantungan mereka kepada pengeluaran padi; dan
 (d)  Tujuan untuk mengatasi masalah saiz kebun yang tidak ekonomik dalam mana sistem pertanian kecil-kecilan diubah kepada sistem pelaburan besar-besaran, teratur dan berbentuk perniagaan.

Objektif

Dasar ini adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu dan daya pengeluaran pertanian, meninggikan pendapatan petani dan pekerja di desa dan memudahkan penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan serta lain-lain prasarana. Matlamat dasar ialah untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan penduduk di luar bandar dengan memupuk di kalangan penduduk tersebut semangat berusaha, bekerjasama di samping menimbulkan sifat-sifat jaya diri dalam usha ekonomi yang menguntungkan.
 
ASPEK-ASPEK DASAR

Halacara baru ini melibatkan tiga aspek iaitu:

i)  Kemajuan pertanian dengan mengadakan cara pengurusan perladangan bagi kebun-kebun kecil dan bendang-bendang;

(ii)  Perwujudkan industri kampung dan perusahaan kecil atau lain-lain kegiatan ekonomi bukan pertanian; dan

(iii)  Pengelompokan dan penyusunan semula kampung-kampung secara teratur untuk membibitkan pusat-pusat pertumbuhan baru.

Strategi Pelaksanaan

Strategi perlaksanaan yang dikemukakan ialah mengadakan program pertanian berkelompok dan pengumpulan kampung-kampung yang berdekatan untuk dijadikan bandar kecil. Pesawah-pesawah akan mencantumkan tanah mereka yang sebelah menyebelah untuk dijadikan estet-estet padi. Estet-estet padi ini akan diselenggarakan oleh koperasi. Pengurus-pengurus estet akan dilatih oleh Kerajaan dan dibayar gaji oleh koperasi pemilik tanah. Jentera-jentera juga akan dimiliki oleh koperasi estet. Pemilik tanah akan mendapat saham dalam estet mengikut saiz tanah mereka sebagai peraturan daripada saiz estet. Sementara sawah mereka disatukan dan diurus sebagai estet, peserta sesuatu skim akan ditempatkan semula dalam satu kawasan yang sesuai dalam estet itu. Oleh kerana rumah-rumah yang akan diwujudkan tidak akan dibazirkan.
Bandar-bandar ini akan dibekalkan dengan kemudahan air, elektrik, jalan dan lain-lain. Di samping itu, kedai-kedai dan perkhidmatan lain seperti klinik dan pejabat pos akan diadakan. Industri kecil yang sesuai dengan sumber alam  tempatan akan dikenalpasti dan didirikan. Dalam ertikata lain bandar-bandar kecil ini akan menjadi pusat perkhidmatan kepada penduduk sekitarnya.

Jabatan perancang Bandar dan desa telah mengemukakan cadangan mengenai pendekatan bagi mengelompokan kampung-kampung tradisi mengikut lima model iaitu:
(i)  Model pemusatan;
(ii)  Model tarikan;

(iii) Model gabungan;
(iv) Model pengembangan; dan

(v)   Model perubahan.

Penutup

Adalah menjadi penghargaan Kerajaan bahawa halacara baru ini akan dapat mengurangkan masalah kemiskinan yang masih mengkongkong penduduk-penduduk luar bandar. Menerusi pendekatan baru ini, penduduk-penduduk desa tidak sahaja akan menikmati perkhidmatan-perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan moden tetapi juga berpeluang untuk mengubah tahap kedudukan ekonomi mereka. Kejayaan halacara baru ini akan banyak bergantung kepada kerjasama yang erat di antara agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dan juga penduduk-penduduk desa selaku Kumpulan Sasarannya. Peranan komunikasi dan perhubungan awam dalam mendapatkan penerimaan Kumpulan Sasaran ini adalah syarat utama yang akan menentukan kejayaan halacara baru ini.