Dasar Sogoshosha

Latarbelakang 

Sogoshosha atau syarikat perdagangan am adalah satu konsep yang diperkenalkan di negara Jepun. Untuk mencapai taraf sogoshosha, sesebuah syarikat perdagangan mestilah memenuhi tiga ciri penting iaitu mempunyai rangkaian antarabangsa, mengendali barang dagangan yang banyak dan memainkan peranan utama di bidang perdagangan luar. Di negara Jepun 'Sogoshosha' adalah merupakan satu panggilan/title yang diberikan kepada beberapa syarikat perdagangan am yang terkenal yang telah mencapai pusingan sebanyak US$20 billion setahun. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa peranan yang dimainkan oleh sogoshosha telah diiktirafkan sebagai satu dari sebab-sebab negara berkenaan mencapai kejayaan yang cemerlang di bidang perdagangan luar. Pengalaman negara tersebut telah memberi inspirasi kepada beberapa buah negara membangun termasuk Malaysia, untuk menubuhkan sogoshosha masing-masing sebagai institusi bagi memajukan ekspot mereka.
 
Rasional

Berdasarkan jangkaan kadar pertumbuhan di negara-negara perindustrian dan juga perdagangan antarabangsa yang lembab serta langkah perlindungan yang semakin meluas, Malaysia perlu mencari strategi baru di bidang perdagangan luar. Di masa yang sama, usaha-usaha mempercepatkan perkembangan ekonomi negara. Pencapaian matalamat ini memerlukan Malaysia memulakan strategi menggalakkan ekspot keluarannya secara besar-besaran. Oleh itu, strategi pemasaran barang untuk diekspot mestilah dirangka  dengan teliti bagi mengatasi halangan dan sekatan yang ada. 

Penubuhan sogoshosha adalah diharapkan sebagai satu daripada strategi membantu negara dalam pemasaran barang ekspot. Sogoshosha ini juga akan menjadi alat untuk mendapat maklumat strategik mengenai pasaran-pasaran ekspot dan kontrak kerja di luar negeri menerusi rangkaian antarabangsa.
 
Objektif

Sebagai institusi yang akan membantu Malaysia di bidang perdagangan antarabangsa, sogoshosha Malaysia ditubuhkan dengan objektif-objektif berikut:-

(a)  Menggalakkan ekspot tradisional ke pasaran bukan tradisional dan juga kepada pengguna-pengguna baru termasuk dipasaran tradisional.

(b) Menggalakkan ekspot bukan tradisional.

(c) Mengembangkan peluang-peluang antarabangsa dari segi menggalakkan pelaburan secara usahasama di sektor industri di Malaysia untuk keperluan pasaran dalam dan luar negeri.

(d)  Menggalakkan pemindahan pengetahuan dan teknologi baru.

(e)  Menggalakkan ekspot tak ketara (invisible) Malaysia di luar
  negeri.

Strategi Pelaksanaan

Strategi pelaksanaan konsep sogoshosha ini adalah dilakukan secara menyeluruh selaras dengan dasar-dasar baru kerajaan seperti Persyarikatan Malaysia. Malah sogoshosha adalah dianggap sebagai peringkat permulaan bagi pencapaian matalamat Persyarikatan Malaysia.

Kerajaan sedang merangka satu definasi tetap mengenai sogoshosha dan peraturan-peraturan mengenainya. Beberapa kemudahan-kemudahan dan bantuan adalah dalam pertimbangan untuk diberi kepada syarikat sogoshosha tanpa menggangu atau mengenepikan syarikat perdagangan am yang lain. Pertimbangan sedang dibuat supaya galakan-galakan cukai dan kewangan diberikan kepada syarikat yang terlibat, yang mana diantara lainnya termasuk:

(a)  Galakan Kredit 
Diberikan kepada syarikat tempatan yang menghadapi masalah kewangan untuk melaksanakan kegiatan ekspot di luar negeri.

(b)  Galakan Cukai 
Misalnya elaun galakan ekspot dan lain-lain pengecualian cukai di bawah Akta Galakan Pelaburan 1968, Akta Kastam 1977 dan Akta Eksais 1976.

(c)  Lain-lain Galakan Serta Khidmat Sokongan 
Misalnya penglibatan Pejabat Perusahaan Perdagangan Malaysia di luar negeri dan sebagainya.

Dalam menyediakan galakan di atas, ianya akan diberikan kepada syarikat yang berjaya membuktikan keupayaan mereka untuk meningkatkan ekspot barangannya dan juga berjaya mempelbagaikan ekspot, terutama ke pasaran bukan tradisional.
 
Penutup

Bagi mencapai kejayaan dalam pelaksanaan dasar ini di masa depan, Malaysia mesti bekerja keras untuk menghadapi cabaran-cabaran dan mengatasi masalah yang timbul. Sekiranya berjaya, kesan 'synergy' yang diperolehi daripada penubuhan sogoshosaha ini pasti akan dapat membantu mempertingkatkan perkembangan perindustrian dan ekonomi negara. Dalam melaksanakan strategi sogoshosha, perhatian hendaklah diambil agar kelonggaran cukai dan bantuan kewangan tidak bercanggah dengan peraturan yang dikenakan oleh GATT dan negara-negara pengimpot.