Latarbelakang
Dalam
era pembangunan yang dipelopori sejak negara mencapai kemerdekaan, fungsi
pentadbiran awam telah mengalami perubahan yang dinamik di mana keseluruhan
jentera Kerajaan digembleng dan dijuruskan kepada usaha-usaha meningkatkan
taraf hidup rakyat di samping menjamin keamanan, kesejahteraan dan
keselamatan awam. Jentera pentadbiran Kerajaan memainkan peranan yang penting
dalam merealisasikan aspirasi negara menerusi pelaksanaan secara berkesan
segala dasar, program dan projek Kerajaan. Keupayaan perkhidmatan awam
memberikan perkhidmatan yang bermutu dan berwibawa perlulah dipertingkatkan
sealiran dengan perkembangan-perkembangan yang pesat berlaku di dalam atau di
luar negeri. Ini memerlukan perubahan-perubahan yang boleh meningkatkan
produktiviti dan keberkesanan perkhidmatan awam dalam menghadapi
cabaran-cabaran pembangunan negara.
Rasional
Rasional
Jentera
Kerajaan bukan sahaja besar dan rumit malah Kerajaan adalah merupakan majikan
yang terbesar di negara ini. Keupayaan jentera Kerajaan bergerak secara licin
dan cekap dan memainkan peranan dalam pembangunan negara tidak hanya
bergantung kepada bilangan petugas perkhidmatan awam semata-mata tetapi
kepada mutu dan produktiviti mereka. Kos belanja mengurus negara dari setahun
ke setahun adalah tinggi dan meningkat. Sungguhpun ada langkah-langkah
tertentu seperti penswastaan dan usaha mengurangkan perbelanjaan awam, namun
perkhidmatan awam akan terus memikul tanggungjawab yang berat dalam
pembangunan negara. Ini antara lainnya adalah disebabkan oleh:
(i)
Keadaan dunia yang berubah dengan cepat dan setiap negara berlumba-lumba
mencapai kemajuan;
(ii) Aspirasi dan kehendak rakyat yang makin meningkat hasil dari peningkatan taraf hidup dan tahap pendidikan mereka;
(iii) Kemajuan dalam sains dan teknologi;
(iv) Kekurangan sumber dan perubahan pemikiran bahawa sumber-sumber yang digunakan oleh perkhidmatan awam adalah pelaburan yang memerlukan pulangan; dan
(v) Hasil dari keluaran negara menghadapi persaingan hebat di pasaran dunia.
Perkara-perkara di atas memerlukan langkah-langkah tertentu diambil bagi memastikan produktiviti sektor awam dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai terus meningkat. Dengan itu perubahan-perubahan pentadbiran dan permodenan birokrasi bagi meningkatkan produktiviti yang dapat dinilai menerusi peningkatan kecekapan, kekesanan dan kualiti perkhidmatan telah dibuat melalui penggubalan dan pelaksanaan beberapa dasar dan proram tertentu.
Objektif
Dasar-dasar
pembaharuan ini mempunvai objektif seperti berikut:
(i) Meningkatkan keupayaan dan produktiviti sektor awam supaya ia dapat memainkan peranannya meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang menyumbang ke arah pembangunan;
(ii) Memastikan sumber-sumber negara digunakan secara optimum; dan
(iii) Meningkatkan jumlah dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai.
Penutup
Peranan
yang dimainkan oleh perkhidmatan awam untuk memberikan perkhidmatan yang
berkualiti kepada orang ramai adalah berat dan ini tidak membenarkan pegawai
awam setakat menjalankan tugas atau melaksanakan dengan cara yang sedia ada,
sebaliknya perlu memikirkan cara-cara baru untuk memperbaikinya. Pemikiran
systems maintenance tidak lagi sesuai dalam keadaan sekarang dan harus diubah
kepada pemikiran berbentuk kreatif dan inovatif yang bermakna pegawai awam
patut bersikap proaktif. Ini hanya dapat dicapai jika mereka mempunyai
kemahiran dan pengetahuan yang tinggi disertai dengan sikap yang positif,
peribadi yang mulia dan nilai-nilai yang unggul.
Langkah-langkah
yang telah diambil sebagaimana yang telah diterangkan di atas adalah
merupakan sebahagian dari tindakan Kerajaan untuk memperbaiki
perkhidmatannya. Ia mencerminkan pemikiran bahawa pembentukan peribadi dan
permodenan sistem haruslah berjalan seiring jika kemajuan dan pembangunan
negara ingin dicapai. Agensi-agensi Kerajaan terpaksalah membuat kerja lebih
dengan cara yang lebih baik dan lebih dekat kepada pengguna. Walaupun
perubahan-perubahan dan pembaikan secara menyeluruh adalah sukar kerana saiz
perkhidmatan awam yang besar, fungsi yang luas dan peraturan-peraturan yang
menyeluruh, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mencuba atau
menjalankan perubahan-perubahan tersebut. Dalam hal ini apa yang
sangat-sangat diperlukan ialah pengurus awam yang berkeupayaan dan mempunyai
sifat-sifat kepimpinan yang boleh dicontohi.