Suruhanjaya Tenaga


Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab mengawal selia sektor tenaga bagi industri perbekalan elektrik dan gas berpaip di  Semenanjung Malaysia dan Sabah.  Suruhanjaya Tenaga memastikan bekalan elektrik dan gas berpaip yang disalurkan kepada pengguna adalah selamat, berdaya harap dan pada harga yang berpatutan.

Latar Belakang
Dalam usaha untuk meningkatkan lagi prestasi dalam industri bekalan tenaga, pada 1 Mei 2001, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Suruhanjaya Tenaga di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001. Suruhanjaya Tenaga beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2002 dan mengambil alih peranan Jabatan Bekalan Elektrik dan Gas yang telah dibubarkan pada tarikh yang sama.

Sektor tenaga di Malaysia telah mengalami perubahan yang pesat dan ketara sejak tahun 1990an. Ini didorong oleh hasrat kerajaan untuk meningkatkan keselamatan bekalan tenaga, meningkatkan kecekapan dan kualiti dalam perkhidmatan utiliti dan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan infrastruktur.

Tanggungjawab Suruhanjaya Tenaga adalah termaktub di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga (2001) serta akta-akta dan peraturan-peraturan seperti berikut:

•    Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaan) 2001
•    Akta Bekalan Gas 1993 (Pindaan) 2001
•    Peraturan-peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990 (Pindaan) 2002
•    Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 (Pindaan) 2003
•    Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997 (Pindaan) 2000
•    Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (Pengkompaunan Kesalahan) 2001
•    Perintah Bekalan Gas (Kesalahan Yang Boleh Dikompaun) 2006
•    Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Dengan Cekap 2008