Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. -

Model Ekonomi Baru

Model Ekonomi Baru (NEM) diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia,Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010.[1] Ia terbahagi kepada 2 fasa . Fasa 1 bermula pada 30 Mac 2010. Sementara Fasa 2 selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Secara formal, DEB sudah lama dihentikan pada 1990 dan digantikan dengan polisi-polisi lain.
Model Ekonomi Baru berteraskan kepada peningkatan produktiviti pekerja yang bermatlamat membantu mereka meningkatkan pendapatan. Pekerja lebih inovatif dan kreatif di samping lebih masa. Lonjakan berganda daya pengeluaran akan berlaku.
Generasi muda terpaksa menerima liberalisasi perdagangan dan terpaksa bersaing dalam dunia global.[2]
Ia menjadi dasar supaya Malaysia boleh menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara yang berada pada peringkat pendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi.[3]
Sektor ekonomi tempatan tidak cukup besar dan negara sangat bergantung pada sektor luar (external). Malaysia sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa.Oleh itu Malaysia terpaksa membuka sektor-sektor ekonomi tertentu . Perjanjian-perjanjian antarabangsa perlu dipatuhi. Antaranya ialah WTO, AFTA dan lain-lain.

Isi kandungan

Jemaah Ekonomi Kebangsaan

Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dilantik sebagai pengerusi Jemaaah Ekonomi Kebangsaan atau Inggerisnya, National Economic Council (NEC).

Tiada kuota kaum

Amirsham A Aziz menegaskan MEB tidak akan mempunyai kuota pemilikan berdasarkan kaum. Semua kuota pemilikan berasakan kaum dihapuskan secara beransur dan digantikan langkah-langkah meningkatkan keupayaan untuk semua.
Dasar ekonomi sekarang lazimnya mensasarkan ekuiti, pekerjaan dan sebagainya. Sasaran MEB ialah golongan bawahan 40 peratus kumpulan berpendapatan rendah.
Berhubung penyertaan Bumiputera, MEB akan meningkatkan lagi kapasiti usahawan dan tidak akan meminggirkan mana-mana kaum sepanjang pelaksanaannya. Pendekatan yang terbaik akan dikaji bagi menyokong bidang ekonomi utama yang disasarkan dalam MEB.
Teras utama MEB ialah tidak ada kuota pemilikan. Namun kapasiti perniagaan bumiputera akan disokong supaya mereka boleh menjalankan perniagaan yang lebih baik.Contohnya pembiayaan dan akses kepada internet .[4]

Pelan Transformasi Ekonomi

Pengenalan
Program Transformasi Ekonomi merangkumi Model Baru Ekonomi (MBE), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP).

Perdana Menteri juga telah melancarkan dokumen Pelan Hala Tuju ETP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Oktober 2010. Kandungan Pelan Hala Tuju ETP ini turut merangkumi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu :

1. Minyak, gas & tenaga
2. Minyak sawit
3. Perkhidmatan kewangan
4. Pelancongan
5. Perkhidmatan perniagaan
6. Elektronik dan elektrikal
7. Pemborongan & peruncitan
8. Pendidikan
9. Penjagaan kesihatan
10. Kandungan & infrastruktur komunikasi
11. Pertanian
12. Greater Kuala Lumpur

Pelan Transformasi Kerajaan

Program Transformasi Kerajaan (PTK/GTP)

PENDAHULUAN
Bagi meletakkan negara pada landasan lebih kukuh dalam mendepani pelbagai cabaran untuk mencapai Wawasan 2020, Perdana Menteri, YAB Dato‘ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah mengumumkan pelaksanakan Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang dirangka berdasarkan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
PTK menggariskan secara terperinci  objektif, keberhasilan dan set tindakan permulaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) bagi meghasilkan perubahan yang diharapkan melalui pelaksanaan program pembangunan dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Bagi menjayakan PTK, kerajaan dan perkhidmatan awam saling bergantung dan saling melengkapi antara satu sama lain, khususnya dalam pelaksanaan NKRA dan MKRA.  Justeru, YAB Perdana Menteri sendiri mengetuai pelaksanaan PTK dengan dibantu anggota Kabinet serta didokong oleh  Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan perkhidmatan awam. Strategi pelaksanaan pelan ini dirangka oleh Menteri Perpaduan dan Pengurusan Prestasi serta Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). Sehubungan itu, lapan pasukan yang dianggotai agensi kerajaan dan dikenali sebagai Makmal, telah ditubuhkan, dengan setiap makmal bertanggungjawab bagi  setiap enam NKRA, satu untuk  1Malaysia dan satu lagi untuk meneliti pengurusan keseluruhannya.

PTK akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu:
•    Fasa 1 (dari 2010 hingga 2012)
Menjurus kepada langkah menentukan perubahan dan menyampaikan keberhasilan dengan cepat kepada rakyat melalui penetapan dan penyampaian sasaran NKRA dan MKRA.
•    Fasa 2 (dari 2012 hingga 2015)
Transformasi kerajaan dilihat lebih melebar serta mendalam dan kehidupan harian rakyat diharap menjadi lebih baik, manakala struktur ekonomi negara akan berkembang sejajar dengan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) dalam menghasilkan sektor-sektor yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
•    Fasa 3 (dari 2015 hingga 2020)
Matlamat Wawasan 2020 akan tercapai di mana rakyat menikmati taraf kehidupan dan kemakmuran lebih tinggi, manakala kualiti perkhidmatan awam juga meningkat. Kemuncaknya, setiap rakyat Malaysia memiliki jati diri dan semangat cinta negara dengan melihat diri masing-masing terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia dan kemudian barulah mengikut agama, bangsa, kawasan geografi, latar belakang sosial, ekonomi dan kecenderungan politik.

Bagi memastikan semua rancangan pembangunan negara berjalan lancar, kesemua pelan tindakan PTK akan berpaksikan kepada  Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
Meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
•    Semua kanak-kanak menguasai kemahiran membaca menulis dan mengira ketika melangkah ke tahun 4 sebelum hujung 2012.
•    Menjelang tahun 2012, 80% kanak-kanak disasarkan mendapat akses kepada pendidikan prasekolah.
Mengurangkan kadar jenayah
•    Pengurangan sebanyak 20% jenayah jalanan pada akhir tahun 2010.
•    Seramai 6,000 kakitangan kerajaan dari pelbagai kementerian telah mengambil alih tugas pentadbiran yang sebelum ini dilakukan oleh pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan (ASP) dan ke bawah di semua peringkat kontinjen.
Memerangi Rasuah
•    Pengagihan perolehan dibuat melalui tender terbuka atau terhad.
•    Memulihkan Indeks Persepsi Rasuah yang diletakkan Transparency International.
Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah
•    Mulai Januari 2010 semua bantuan kebajikan akan dibayar tepat 1 hari bulan
•    Bilangan usahawan wanita akan ditambah dari 717 kepada 4,000 melalui AIM menjelang 2012.
Memperkasa prasarana luar bandar dan pendalaman
•    Kemudahan jalan, bekalan air bersih dan elektrik khususnya di Sabah dan Sarawak akan ditambah.
•    Sebanyak 50,000 lagi rumah golongan miskin dan miskin tegar akan dibina atau dibaik pulih menjelang 2012.
Menambahbaik pengangkutan awam
•    Mensasarkan 25% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam menjelang 2012 berbanding hanya 16% sekarang.
•    Menjelang 2012 – 35 set 4-car train akan beroperasi untuk laluan Kelana Jaya.

Mempertingkatkan Kebertanggungjawaban Menteri  Dan Penjawat Awam
•    Bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan lancar, semua menteri memberi lebih banyak penekanan terhadap aspek kebertanggungjawaban masing-masing. YAB Perdana Menteri akan menilai pencapaian setiap menteri pada setiap enam bulan bagi memastikan mereka mencapai tahap prestasi yang telah ditetapkan. Beliau membuat penilaian pertama bagi tempoh meliputi November 2009 dan Januari 2010.

•    Bagi menjamin prinsip “Pencapaian Diutamakan” benar-benar terlaksana, semua  menteri dan pegawai kerajaan yang menguruskan keberhasilan diminta  memastikan bahawa keputusan atau tindakan mereka mematuhi “Prinsip-prinsip Penyampaian" . Prinsip-prinsip ini termasuk  menggalakkan penyertaan rakyat dalam program yang dirancang, dengan mendapatkan input daripada mereka sebelum membuat sesuatu keputusan, meningkatkan produktiviti sebanyak mungkin daripada sumber sedia ada, mengurangi ketirisan, mengoptimumkan taraf perkhidmatan serta menggunakan pendekatan inovatif. Kerajaan yakin persefahaman yang wujud  antara pemimpin, penjawat awam dan rakyat dalam melaksanakan NKRA  akan menjadikan Malaysia lebih  maju, aman dan makmur.

Konsep /Gagasan 1 MALAYSIA

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

2. DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

2.1 Huraian

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :

2.1.1Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.

Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.
One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala
keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia

“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.

Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum- kaum lain.

3. Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.

4. KEDUDUDUKAN KONSEP SATU MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR
KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2 KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya

7.2.6Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan

7.5.7Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

7.3.3Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

7.4 PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.

7.4.5Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

7.5 KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

7.5.1Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

7.5.3Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

7.5.4Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

7.5.8Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..

7.6.2Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7.6.4Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.7 PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

7.8 INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

7.8.7Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8. KESIMPULAN

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Sogososha Malaysia

Latarbelakang 

Sogoshosha atau syarikat perdagangan am adalah satu konsep yang diperkenalkan di negara Jepun. Untuk mencapai taraf sogoshosha, sesebuah syarikat perdagangan mestilah memenuhi tiga ciri penting iaitu mempunyai rangkaian antarabangsa, mengendali barang dagangan yang banyak dan memainkan peranan utama di bidang perdagangan luar. Di negara Jepun 'Sogoshosha' adalah merupakan satu panggilan/title yang diberikan kepada beberapa syarikat perdagangan am yang terkenal yang telah mencapai pusingan sebanyak US$20 billion setahun. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa peranan yang dimainkan oleh sogoshosha telah diiktirafkan sebagai satu dari sebab-sebab negara berkenaan mencapai kejayaan yang cemerlang di bidang perdagangan luar. Pengalaman negara tersebut telah memberi inspirasi kepada beberapa buah negara membangun termasuk Malaysia, untuk menubuhkan sogoshosha masing-masing sebagai institusi bagi memajukan ekspot mereka.
 
Rasional

Berdasarkan jangkaan kadar pertumbuhan di negara-negara perindustrian dan juga perdagangan antarabangsa yang lembab serta langkah perlindungan yang semakin meluas, Malaysia perlu mencari strategi baru di bidang perdagangan luar. Di masa yang sama, usaha-usaha mempercepatkan perkembangan ekonomi negara. Pencapaian matalamat ini memerlukan Malaysia memulakan strategi menggalakkan ekspot keluarannya secara besar-besaran. Oleh itu, strategi pemasaran barang untuk diekspot mestilah dirangka  dengan teliti bagi mengatasi halangan dan sekatan yang ada. 

Penubuhan sogoshosha adalah diharapkan sebagai satu daripada strategi membantu negara dalam pemasaran barang ekspot. Sogoshosha ini juga akan menjadi alat untuk mendapat maklumat strategik mengenai pasaran-pasaran ekspot dan kontrak kerja di luar negeri menerusi rangkaian antarabangsa.
 
Objektif

Sebagai institusi yang akan membantu Malaysia di bidang perdagangan antarabangsa, sogoshosha Malaysia ditubuhkan dengan objektif-objektif berikut:-

(a)  Menggalakkan ekspot tradisional ke pasaran bukan tradisional dan juga kepada pengguna-pengguna baru termasuk dipasaran tradisional.

(b) Menggalakkan ekspot bukan tradisional.

(c) Mengembangkan peluang-peluang antarabangsa dari segi menggalakkan pelaburan secara usahasama di sektor industri di Malaysia untuk keperluan pasaran dalam dan luar negeri.

(d)  Menggalakkan pemindahan pengetahuan dan teknologi baru.

(e)  Menggalakkan ekspot tak ketara (invisible) Malaysia di luar
  negeri.

Strategi Pelaksanaan

Strategi pelaksanaan konsep sogoshosha ini adalah dilakukan secara menyeluruh selaras dengan dasar-dasar baru kerajaan seperti Persyarikatan Malaysia. Malah sogoshosha adalah dianggap sebagai peringkat permulaan bagi pencapaian matalamat Persyarikatan Malaysia.

Kerajaan sedang merangka satu definasi tetap mengenai sogoshosha dan peraturan-peraturan mengenainya. Beberapa kemudahan-kemudahan dan bantuan adalah dalam pertimbangan untuk diberi kepada syarikat sogoshosha tanpa menggangu atau mengenepikan syarikat perdagangan am yang lain. Pertimbangan sedang dibuat supaya galakan-galakan cukai dan kewangan diberikan kepada syarikat yang terlibat, yang mana diantara lainnya termasuk:

(a)  Galakan Kredit 
Diberikan kepada syarikat tempatan yang menghadapi masalah kewangan untuk melaksanakan kegiatan ekspot di luar negeri.

(b)  Galakan Cukai 
Misalnya elaun galakan ekspot dan lain-lain pengecualian cukai di bawah Akta Galakan Pelaburan 1968, Akta Kastam 1977 dan Akta Eksais 1976.

(c)  Lain-lain Galakan Serta Khidmat Sokongan 
Misalnya penglibatan Pejabat Perusahaan Perdagangan Malaysia di luar negeri dan sebagainya.

Dalam menyediakan galakan di atas, ianya akan diberikan kepada syarikat yang berjaya membuktikan keupayaan mereka untuk meningkatkan ekspot barangannya dan juga berjaya mempelbagaikan ekspot, terutama ke pasaran bukan tradisional.
 
Penutup

Bagi mencapai kejayaan dalam pelaksanaan dasar ini di masa depan, Malaysia mesti bekerja keras untuk menghadapi cabaran-cabaran dan mengatasi masalah yang timbul. Sekiranya berjaya, kesan 'synergy' yang diperolehi daripada penubuhan sogoshosaha ini pasti akan dapat membantu mempertingkatkan perkembangan perindustrian dan ekonomi negara. Dalam melaksanakan strategi sogoshosha, perhatian hendaklah diambil agar kelonggaran cukai dan bantuan kewangan tidak bercanggah dengan peraturan yang dikenakan oleh GATT dan negara-negara pengimpot.

Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara


Latarbelakang 

Daya pengeluaran dihuraikan oleh pelbagai pakar atau penulis dengan pelbagai cara. Satu daripada takrif-takrif daya pengeluaran yang diketengahkan ialah nisbah di antara jumlah pengeluaran dan faktor-faktor pengeluaran. Ada juga yang mentakrifkannya sebagai pengukuran nilai barang yang di keluarkan dengan kos yang rendah. Daya pengeluaran juga telah ditakrifkan sebagai nisbah hasil dan jumlah kos buruh. Ini bermakna daya pengeluaran tidak serupa dengan jumlah pengeluaran dan peningkatan daya pengeluaran tidak semestinya dicapai melalui peningkatan jumlah pengeluaran semata-mata.

Pada masa ini, kadar pertumbuhan ekonomi dunia telah mengalami kemerosotan dan ini disertai pula dengan kadar pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang lembab. Oleh itu untuk mencapai kadar perkembangan ekonomi yang berterusan di dalam suasana yang mencabarkan ini, setiap negara baik negara perindustrian ataupun negara membangun seperti Malaysia perlulah meningkatkan pendapatan masing-masing ke tahap yang paling maksima. Satu daripada pendekatan yang sesuai bagi mencapai matlamat ini ialah melalui peningkatan daya pengeluaran negara yang mana ianya menglibatkan kedua-dua sektor awam dan sektor swasta serta meliputi semua jenis dan peringkat pekerjaan.
 
Rasional

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia memerlukan penambahan hasil pendapatan yang meningkat supaya kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dapat dicapai. Dalam konteks ini pengembelingan tenaga daripada sektor awam dan swasta adalah diperlukan. Di samping itu kedua-dua sektor ini perlu juga meningkatkan daya pengeluaran bagi menentukan sumber-sumber ekonomi negara digunakan dengan cara yang optima.

Daya pengeluaran sektor awam adalah penting untuk menjayakan pencapaian matlamat pembangunan negara. Dengan demikian ianya perlu terus dipertingkatkan memandangkan bahawa tanggungan perbelanjaan sektor ini adalah tinggi. Di samping itu memang terdapat persoalan terhadap mutu perkhidmatan yang diberi.

Peningkatan daya pengeluaran di sektor swasta adalah sama pentingnya. Untuk mempastikan sektor ini dapat bersaing di pasaran bebas antarabangsa, buat masa ini kebanyakan syarikat besar dalam negara terutama sektor pembuatan, diberi bantuan dan sokongan sama ada dari segi perlindungan pasaran atau galakan cukai. Sekiranya peningkatan daya pengeluaran ini tidak diusaha, kecekapan dan keupayaan sektor perindustrian untuk bersaing sama ada di dalam atau di luar negeri mungkin terhad apabila perlindungan atau galakan yang diberi oleh Kerajaan tamat.
 
Objektif

Matlamat peningkatan daya pengeluaran negara bolehlah dikategorikan kepada berikut:-

a)  Untuk meninggikan kadar pertumbuhan ekonomi dan menyusun semula  struktur dan ketidakseimbangan ekonomi dalam negara.

(b)  Untuk mempastikan penggunaan sumber-sumber negara dengan optima  dan mengelakkan pembaziran yang merugikan.

(c)  Untuk memperkukuhkan asas perindustrian supaya ianya dapat  bersaing di pasaran bebas antarabangsa dengan berkesan.

Strategi Pelaksanaan

Secara kasar pendekatan untuk meningkatkan daya pengeluaran negara dilaku melalui beberapa  cara-cara berikut:-

(a)  Pembaikan kepada Sistem dan Organisasi
 
Cara ini melibatkan pembaikan keseluruhan terhadap sesuatu organisasi dari segi objektif, strategi dan tatacara kerja, sistem maklumat, sistem fail dan lain-lain. Pendekatan ini didapati perlu untuk menghapuskan kelambatan kerja (bottleneck), pembaziran masa, peranan yang bertindih (overlapping), penyelarasan yang kurang memuaskan, kekurangan perancangan dan sebagainya. Latihan di peringkat pengurusan dan kakitangan rendah di bidang-bidang tertentu juga diadakan di dalam pelaksanaan strategi ini.

(b)  Penggunaan teknologi yang sesuai
 
Dalam menggalakkan penggunaan teknologi yang sesuai, penekanan dibuat kepada pemindahan teknologi dengan berkesan supaya negara kurang bergantung kepada sumber-sumber teknologi dari luar negeri. Teknologi yang dimaksudkan ini bukanlah terhad kepada jentera dan kemahiran sahaja tetapi juga pengurusan organisasi yang termoden.

(c)  Penerapan nilai baru 

Strategi ini melibatkan penyemaian di kalangan pemimpin-pemimpin, pengurus-pengurus, pekerja-pekerja dan rakyat terhadap nilai-nilai dan etika kerja yang menitikberatkan kerja bersungguh-sungguh, kesetiaan kepada perusahaan, dedikasi dan sikap berdikari. Antara lain strategi ini mengutarakan slogan Kepimpinan melalui teladan, Bersih, Cekap dan Amanah dan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam.

(d)  Dasar-dasar baru
 
Pada masa ini Kerajaan telah menggubalkan dasar baru yang boleh membantu pencapaian matlamat peningkatan daya pengeluaran. Di antara dasar-dasar yang penting ialah:-

(i)  Dasar Memandang ke Timur 

Usaha untuk mengubah sikap pekerja dan majikan ke arah pencapaian yang baik serta kepentingan golongan yang mana akan meningkatkan daya pengeluaran di dalam masyarakat Malaysia.

(ii)  Dasar Perindustrian Berat

Menggalakkan serta menggunakan kemajuan teknologi yang sesuai dan mengandungi cara-cara yang baik dan moden yang cekap dan berkesan.

(iii)  Dasar Pengswastaan 

Mengswastakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak awam bagi menggalakkan persaingan dan menambahkan daya pengeluaran agensi berkenaan.

(iv)  Dasar Persyarikatan Malaysia 

Mewujudkan suasana kerja yang harmoni di antara sektor awam dan sektor swasta. 

(v)  Dasar Sogoshosha

untuk mendapatkan 'synergy' dalam aktiviti perdagangan luar.

(vi)  Dasar Pertanian Negara
 
Untuk menggubal strategi dan halacara baru dalam mencapai pembangunan pertanian dan luar bandar.  

Penutup

Untuk mencapai matlamat peningkatan daya pengeluaran, ianya bukanlah melibatkan proses yang senang dan mengambil masa yang pendik. Pencapaiannya memerlukan daya usaha yang gigih dan menyeluruh bukan sahaja dari segi menggubalkan dasar tertentu tetapi juga mendapatkan kerjasama keseluruhan masyarakat di dalam negeri. Oleh itu peningkatan daya pengeluaran hendaklah dianggap sebagai satu pendekatan atau falsafah dalam pengurusan dan nilai kerja yang sewajarnya berlaku secara berterusan.