Dasar Perindustrian Berat


Latarbelakang 

Sektor perindustrian memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara setanding dengan sektor pertanian. Sumbangan sektor perindustrian dalam KDNK telah meningkat dari 13.4% pada tahun 1970 kepada 20.5% dalam tahun 1980 sementara sumbangan sektor pertanian menurun dari 30.8% kepada 22.2% dalam tempuh yang sama. Begitu juga dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan di mana peraturannya dalam sektor perindustrian telah bertambah dari 11.4% pada tahun 1970 kepada 15.8% pada tahun 1980 sedangkan di sektor pertanian peratusannya menurun dari 50.5% kepada 40.6%. Pertumbuhan sektor perindustrian dalam dekad tersebut ialah 12.5% setahun berbanding dengan hanya 4.3% bagi sektor pertanian.

Proses perindustrian telah melalui tahap-tahap yang diperlukan bermula dengan industri tradisional berasaskan pertanian sebelum tahun 1960an kepada industri gantian-import pada tahun 1960an dan seterusnya industri-industri intensif buruh dan eksport pada tahun-tahun 1970an. Langkah seterusnya yang paling wajar dalam proses perindustrian ini ialah dengan mengamalkan dasar industri berat iaitu perindustrian yang memerlukan modal yang besar, teknologi yang tinggi dan menggunakan tenaga pekerja mahir yang ramai.
 
Rasional

Industri berat mempunyai potensi jangka panjang dalam proses rancangan perindustrian negara kerana dasar ini adalah merupakan satu langkah ke arah satu ekonomi yang lebih kukuh dengan memperluas dan mengukuhkan asas dan struktur perkilangan agar ianya terus mampu menghadapi pertumbuhan dan kematangan.

Selama ini, Kerajaan adalah merupakan pelabur yang terbesar sementara sektor swasta kurang memainkan peranan dan pelaburannya adalah terlalu lembap. Sektor ini tidak dinamik di mana ia lebih bertindak balas kepada galakan dan perlindungan tanpa memberi perhatian kepada 'new areas' dan berbelanja untuk penyelidikan dan pembangunan. Pada masa-masa yang lepas sektor swasta lebih memandang ke dalam (inward-looking) dan polisi ditujukan ke arah itu iaitu gantian import dan galakan perlindungan tanpa memikirkan persaingan dalam pasaran dunia. Dasar perindustrian berat diharap dapat mengubah keadaan ini agar sektor swasta meningkatkan pelaburan mereka dan mengambil bahagian cergas dalam pembangunan ekonomi melalui program perindustrian berat yang lebih sophisticated yang akan mengwujudkan industri-industri sokongan dan berkemampuan untuk bersaingan dalam pasaran dunia.

Kebanyakan pelaburan sehingga hari ini, adalah 'assembly of packaging type'yang gagal memberi peluang untuk 'forward or backward linkages'. Akibatnya, walaupun proses perindustrian telah berlangsung selama 25 tahun, Malaysia masih belum mempunyai 'industrial elite' dan masyarakat perindustriannya sendiri. Malaysia perlu mempunyai kedua-dua ini jika mahu terus maju setanding dengan negara-negara perindustrian yang lain.

Objektif

Dasar Industri Berat dijangka akan mencapai objektif-objektif berikut:

(1)  Mengimport dan menyerap teknologi yang lebih sophisticated 
untuk memajukan teknologinya sendiri. Dengan itu, perindustrian di Malaysia tidaklah hanya setakat memproses dan menghasilkan barang-barang pengguna yang mudah, tetapi sebaliknya dapat mengeluarkan bahan-bahan mentah serta jentera-jentera perindustrian dan barang-barang gantian import untuk keperluan negara secara kompetitif.

(2)  Mengelakkan pergantungan berterusan kepada barangan dan  teknologi asing. Dengan ini, negara boleh menyelamatkan tukaran wang asing dan seterusnya mengasaskan langkah berjaga-jaga ke atas ketidak-tentuan harga dan bekalan bahan-bahan keperluan strategik.

(3)  Mempelbagaikan dan memperkukuhkan eksport barangan Malaysia 
untuk mengatasi dasar perlindungan yang ada di negara-negara maju terhadap barangan yang dihasilkan oleh perindustrian intensif buruh negara-negara membangun.

(4)  Industri berat dijangka dapat meningkatkan keupayaan 
industri-industri kecil dan industri sokongan di samping mengwujudkan industri-industri pertengahan yang baru. Pengalaman di negara-negara lain menunjukkan bahawa pelaburan dan gunatenaga yang diwujudkan oleh industri-industri pertengahan, sokongan dan kecil ini adalah lebih besar dari yang ditimbulkan oleh industri-industri berat itu sendiri.

(5)  Mengwujudkan peluang untuk para pekerja dilatih dalam 
bidang-bidang kejuruteraan dan kemahiran-kemahiran berkaitan.

Strategi Pelaksanaan

Industri berat memerlukan modal besar, teknologi yang tinggi dan sophisticated dan pekerja mahir. Selain dari Kerajaan, tidak ada pelabur-pelabur tempatan yang sanggup melabur modal dalam projek-projek yang sebegini besar. Pelabur-pelabur tempatan juga tidak mempunyai teknologi yang diperlukan. Dengan demikian, pelaburan dalam bidang ini terpaksa diusahakan oleh Kerajaan dan pelabur-pelabur asing.

Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM) pada tahun 1980. Peranan HICOM adalah untuk mengenalpasti, memulakan, melaksanakan dan menguruskan projek-projek dalam bidang industri berat. Berikutan dari ini beberapa projek tajaan Kerajaan dengan usaha sama pelabur asing telah dilancarkan. Ini termasuk logi simen, besi panas dan pancang keluli, projek kereta nasional, logi enjin kecil, palpa dan kertas dan kompleks kejuruteraan.

Kesemua projek-projek ini adalah memerlukan bahan-bahan atau komponen-komponen tertentu dalam pengeluarnnya. Di sini timbullah peranan yang patut dimainkan oleh industri-industri sokongan dan kecil untuk membekalkan bahan-bahan tersebut. Dengan itu, perlaksanaan program industri berat mempunyai serampang dua mata; iaitu mengwujudkan projek industri berat itu sendiri dan meningkat keupayaan industri sokongan atau mengwujudkan industri-industri baru. Di sini pelabur-pelabur tempatan (swasta) haruslah memainkan peranan aktif bagi mengwujudkan 'secondary industries' yang berasaskan 'high-teknologi' dan berkeupayaan mempercepatkan pertumbuhan industri pertengahan dan sederhana. Dengan tidak secara langsung ianya akan mengwujudkan industri gantian import pusingan kedua dan 'resource-based industries' untuk eksport.

Oleh kerana industri berat memerlukan teknologi yang sophisticated dan kemahiran yang tinggi di mana ianya menjadi masalah di Malaysia, dasar ini memerlukan pengimportan kedua-dua sumber itu secara mengadakan usahasama dengan pelabur asing. Rakan perkongsian asing dimestikan menyediakan kerjasama dan bantuan dalam melatih pekerja, pengendalian dan pengurusan projek. Ini adalah bagi menentukan pemindahan teknologi berjalan dengan berkesan dan projek mencapai kejayaan.
Insentif berbentuk kredit, tariff atau subsidi patutlah diberi kepada projek-projek ini bagi membolehkan industri ini berdiri buat permulaannya.

Pengeluaran juga haruslah bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi hendaklah juga ditujukan kepada pasaran dunia. Dari segi ini, tindakan pemasaran yang agresif hendaklah dijalankan dan usaha-usaha dibuat dalam penyelidikan dan pembangunan demi mengurangkan kos pengeluaran agar barangan menjadi lebih kompetitif.
Kajian juga hendaklah dibuat bagi mengenalpasti projek-projek yang sesuai dan paling bermunafaat kepada Malaysia dan menentukan pilihan teknologi yang akan digunakan.
 
Penutup

Oleh kerana bentuk perindustrian berat yang rumit itu tidak menggalakkan penglibatkan sektor swasta dalam negeri, maka Kerajaan nampaknya terpaksa mengambil daya utama untuk menjalankan industri ini dan membiarkan pelabur swasta menjalankan industri sampingan bagi komplimen industri berat itu. Ini dengan sendirinya akan mempertingkatkan proses perindustrian dan memperluaskan asas perindustrian yang diperlukan bagi industri berat. Buat beberapa ketika pergantungan kepada teknologi asing tidak dapat dielakkan, tetapi dengan penyusunan cara pemindahan teknologi yang teratur, ianya akan dapat dikurangkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Malaysia boleh mengwujudkan teknologinya sendiri. Selain dari itu, langkah yang patut diambil ialah dengan memberikan intensif yang sesuai kepada industri dalam negeri bagi membolehkan ia merangka 'capital saving equipment' melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan mereka. Berdasarkan pencapaian yang telah diperolehi dalam dasar perindustrian negara selama ini, dasar industri berat ini juga akan mencapai kejayaan yang sama jika pendekatan yang sesuai dibuat.

Dasar Pendidikan Kebangsaan


Latarbelakang  

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.
Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif

Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

Strategi Pelaksanaan

Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a)  Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang
utama;
(b)  Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia
bagi semua jenis sekolah;
(c)  Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d)  Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e)  Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan  pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
(f)    Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;
(g)   Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan
mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada  kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h)   Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada  tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;

(i)   Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;

(j)   Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;

(k)   Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;

(l)   Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

(m)   Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
  seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Penutup

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

Dasar Kependudukan Malaysia


Latarbelakang

Matlamat kependudukan 70 juta telah disarankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Seri Dr. Mahathir Mohammad ketika beliau berucap di Perhimpunan Agung UMNO dalam bulan September 1982. Beliau berpendapat bahawa Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk sebanyak 70 juta.
Saranan ini kemudiannya telah dijelaskan dan dikemukakan sekali lagi oleh beliau dalam ucapannya semasa membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada 29hb. Mac 1984. Matlamat kependudukan ini diharapkan dicapai dalam tempoh 115 hingga 120 tahun.

Rasional

Jumlah penduduk Malaysia adalah masih kecil dan ada faedah-faedah besar jika kependudukan Malaysia dibesarkan dalam jangka perancangan di atas. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia dengan kawasan yang seluas 334,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 45 juta, Negeri Thai dengan kawasan seluas 514,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 50 juta dan Republik Indonesia dengan kawasan tanah 2,027,087 km persegi mempunyai sebanyak 150 juta.

Rasional untuk mencapai matlamat kependudukan 70 juta adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri industri tempatan. Ini akan mengujudkan keadaan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran untuk eksport. Pertumbuhan adalah dianggap sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping itu ianya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi. Dengan yang demikian, adalah wajar angkubah-angkubah demografik ini diambil kira di dalam perancangan pembangunan untuk mempastikan kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan yang berterusan.

Malaysia masakini mengalami kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.5%* bagi jangkamasa 1981-1985. Mengikut kadar ini, jumlah penduduk dianggarkan menjadi 15.279 juta dalam tahun 1984, iaitu pertambahan sebanyak 11.2% daripada jumlah 13.745 juta pada tahun 1980. Kadar pertumbuhan bagi jangkamasa-jangkamasa tertentu adalah seperti yang berikut:-

Pelan Induk Perindustrian


Latarbelakang 

Sejak tahun 1960, perkembangan sektor pembuatan di Malaysia telah dilaksanakan ke arah kegiatan-kegiatan yang bercorak gantian-import. Bagaimanapun strategi ini telah mula berubah dalam tahun 1970 di mana lebih banyak tumpuan telah dibuat terhadap kegiatan-kegiatan yang berorientasikan eksport, memandangan kegiatan berorientasikan gantian import membantutkan perkembangan perindustrian oleh kerana Malaysia dianggap mempunyai skop pasaran yang kecil. Matlamat-matlamat pembangunan Perindustrian dalam tahun 70an hingga sekarang berasaskan faktor-faktor berikut:- tempoh 115 hingga 120 tahun

a.  Mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru
b.  Mempelbagaikan industri dan megembangkannya ke seluruh negara
c.  Menambahkan tukaran asing menerusi pengujudan industri yang
     teknologi tinggi dan memupuk kemahiran bagi pekerja-pekerja Malaysia
d.  Menambahkan lagi industri kecil
e.  Mengurangkan import barangan jentera
f.  Mengekploitasi pertalian/linkage pengeluaran dan pemerosesan
g.  Menguatkan lagi keupayaan teknologi dalam sektor pembuatan.

Rasional

Walaupun matlamat-matlamat pembangunan perindustrian ini telah menghasilkan kemajuan yang pesat dalam tahun 70an, beberapa kelemahan telah dapat dikesan terutamanya dalam awal tahun 80an di mana kemelesetan sektor luar telah menjejas prestasi sektor pembuatan Malaysia.

Pada dasarnya kelemahan-kelemahan sektor pembuatan Malaysia adalah berasaskan kepada strukturnya.

Pertama, asas sektor pembuatan adalah sempit (narrow industrial base). Boleh dikatakan sebahagian besar kegiatan-kegiatan pembuatan adalah ditumpukan kepada pengeluaran-pengeluaran barangan-barangan elektrik dan elektronik, bahan-bahan kimia dan petroleum, tekstail, kasut dan beberapa pengeluaran jentera dan peralatan perhubungan.

Kedua, campurtangan kerajaan dalam memberi galakan perindustrian seperti galakan cukai, galakan pelaburan industri baru, galakan tempatan, Akta Penyelarasan Perindustrian dan pengujudan Kawasan Perdagangan Bebas telah menghasilkan keadaan yang tidak seimbang dalam industri pembuatan. Antara kesan-kesan yang tidak seimbang ini ialah:

a.  Terlalu berat kepada 2 sektor eksport - elektronik dan tekstail, iaitu hampir 65% daripada pengeluaran adalah daripada sektor-sektor ini.

b.  73% daripada kegiatan-kegiatan pembuatan bertumpu di kawasan- kawasan maju.

c.  Kadar kepentingan asing yang tinggi dalam modal tetap - misalnya industri elektronik (80%), industri tekstail (54%).

d.  Galakan-galakan industri tidak berlaku 'across firm' dan 'across industry' yang menyebabkan tidak seimbangnya kesan galakan.

e.  Kebanyakan firma yang menggunakan galakan-galakan ialah firma- firma multinasional yang berorientasikan pasaran eksport yang kurang memberi perhatian kepada peluang-peluang mengujudkan pemerosesan (backward linkages) dalam negeri.
Ketiga, kelemahan-kelemahan ini ditambah dengan tidak ujudnya dasar perindustrian negara yang dapat mengadakan matlamat dan strategi industri yang terang dan bersesuaian buat masa kini dan masa hadapan untuk menyelaraskan kesemua kegiatan-kegiatan pembuatan negara, khususnya kepada industri-industri berasaskan pertanian.
 
Objektif

Berasaskan faktor-faktor yang dibincangkan di atas, maka perlulah diadakan satu perancangan yang terperinci dalam sektor pembuatan yang dapat menggabung dan menunjuk dengan jelas perhubungan antara berbagai-bagai peringkat kegiatan pembuatan. Satu daripada langkah yang menuju ke arah ini ialah penyediaan Pelan Induk Perindustrian (PIP) yang sedang disiapkan dan akan diumumkan dalam bulan Julai 1985. Matlamat Pelan Induk Perindustrian yang sedang disusun meliputi perkara seperti berikut:-

a.  Merangka secara terperinci kegiatan sektor perindustrian dan sektorindustri kecil untuk menghasilkan penggunaan sumber secara optimum.

b.  Menyediakan profail industri yang sesuai seperti keluasan pasaran dan keupayaan yang sedia ada, kedudukan permintaan dan penawaran berbagai jenis barang. 

c.  Menyatukan industri yang sedia ada dengan kegiatan mengeluarkan bahan mentah (upstream activity) dan kegiatan memproses bahan (downstream activity). 

d.  Merangka keperluan Teknologi sektor dengan melengkapkan program
  yang menyeluruh.

Strategi Pelaksanaan

Untuk melaksanakan matlamat PIP ini, beberapa strategi adalah sedang disusun dan meliputi perkara-perkara berikut :

a.  Menyusun semula struktur galakan perindustrian yang sedia ada.

b.  Mempelbagaikan eksport dan menggalakkan sektor gantian import.

c.  Memajukan semula industri gantian import peringkat pertama - misalnya barang pengguna tahan lama dan industri gantian; import peringkat kedua - misalnya alat perhubungan.

d.  Menggalakkan pengguna-pengguna Malaysia menggunakan lebih banyak barangan buatan Malaysia.

e.  Mempelbagaikan pasaran eksport termasuk mencari pasaran baru di negara-negara sosialis dan negara-negara yang sedang membangun.

f.  Memperluaskan kegiatan industri ke kawasan-kawasan kurang maju.

g.  Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan oleh pihak awam dan pihak swasta.

h.  Menggalakkan industri berat bagi menjadi penggerak perkembangan industri baru.

i.  Menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil.

Pencapaian

Walaupun PIP masih lagi dalam penyediaan dan segala matlamat dan strateginya sedang disusun, beberapa langkah ke arah ini telahpun dirancangkan dan dilaksanakan. Misalnya projek-projek industri berat misalnya pengujudan industri kereta, kilang-kilang simen, besi waja, methanol, anamonia dan kompleks petro-chemikal sedang dirancangkan atau dilaksanakan. Di samping itu kempen-kempen menggalakkan pengguna-pengguna menggunakan barangan buatan Malaysia telah pun berjalan. Di samping ini galakan untuk industri kecil dan industri berasakan pertanian sedang dilaksanakan.

Langkah pertama untuk mencapai matlamat PIP ialah membuat keputusan untuk menjadikan negara ini sebuah negara perindustrian dan mengenalpasti apakah keperluan-keperluan jangka masa panjang mengenainya.
Perkara utama yang harus dibincangkan untuk menuju ke arah ini ialah mengenai pemindahan teknologi. Apa yang dipersoalkan di sini ialah mengenai keutamaan halacara dan tempoh masa yang diperlukan untuk menerima pemindahan teknologi secara optimum. Pencapaian matlamat PIP juga memerlukan negara menguatkan bidang penyelidikan dan pembangunan, dan ini memerlukan sumber dan teknologi yang cukup serta tenaga manusia yang pakar dan mahir bagi melaksanakannya. Di samping itu kita juga perlu mengujudkan sekumpulan besar usahawan untuk mencebur diri dalam bidang-bidang ini. Masalah yang dihadapi tidak akan selesai dengan adanya penyediaan PIP sahaja malahan penyusulan pihak yang membuat keputusan dan pihak yang melaksanakan dan menyelenggarakannya adalah lebih kritikal. Bagi menggalakkan pihak swasta mengambil bahagian dengan lebih giat dalam perlaksanaan PIP, langkah untuk menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan segala halangan dan prosedur lapuk pentadbiran sektor pembuatan perlu diusahakan selaras dengan Dasar Pensyarikatan Malaysia.

Penutup

PENCAPAIAN DASAR SEHINGGA 1990
PIP telah diumumkan pada tahun 1985, sejak itu, pencapaiannya adalah sangat menggalakkan:
i)  PIP meramalkan kadar pertumbuhan tahunan KDNK ialah 6.4%. Kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun 1986 hingga 1990 adalah 1.2%, 5.4%, 8.9%, 8.8% dan 9.4%. (KDNK adalah dirujuk pada harga tetap 1978)

(ii)  PIP meramalkan sektor perkilangan akan berkembang dengan kadar 8.8% setahun. Pertumbuhan sektor ini bagi tahun 1986 hingga 1990 adalah 7.5%, 13.4%, 17.6%, 12% dan 15.8%.

(iii)  Sumbangan sektor perkilangan kepada KDNK telah bertambah kepada 26.6% dalam tahun 1990 berbanding dengan 21% dalam tahun 1986.

(iv)  PIP meramalkan eksport barangan perkilangan akan berkembang dengan kadar 8.9% setahun. Pertumbuhan tahunan eksport ini bagi tahun 1986 hingga 1989 adalah 23.1%, 32.5%, 32% dan 36.3%.

(v)  Pelaburan asing ($) bagi projek-projek yang diluluskan oleh MIDA juga berkembang dengan kadar yang tinggi. Jumlah pelaburan asing bagi sembilan bulan pertama tahun 1990 telah mencapai 13.3 billion ringgit berbanding dengan 8.7 billion ringgit bagi tahun 1989. Kadar pertumbuhan nilai pelaburan asing bagi tahun 1986 hingga 1990 (sehingga Sept. 1990 ) ialah 76%, 22%, 136.8%, 77.4% dan 53.9%.
(vi)  Kadar pengangguran juga telah turun kepada 6.3% dalam tahun 1990 berbanding 7.6% dalam tahun 1985. Sektor perkilangan juga merupakan sektor yang paling banyak menawarkan pekerjaan baru bagi tahun tahun yang lepas dan akan datang.

(vii)  Kejayaan Kerajaan dalam beberapa projek industri berat secara
  langsung telah mengembangkan industri industri lain yang berkaitan, terutamanya industri kecil.

Adalah jelas bahawa kejayaan perlaksanaan PIP telah membantu memulihkan ekonomi Malaysia dari kemelesetan ekonomi yang dialaminya pada tahun 1985 dan 1986. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi ini secara langsung akan membantu kerajaan dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

PIP juga bertindak sebagai panduan bagi pelabur dan kerajaan untuk memandu negara menuju kearah sebagai sebuah negara perindustrian yang mantap secara licin dan teratur.

Di samping kejayaan cemerlang yang dicapai dalam PIP terdapat kesan-kesan sampingan yang negatif daripada perlaksanaan PIP tanpa kawalan yang ketat. 
Kesan-kesan yang negatif itu ialah:

(i)  Industrilisasi tanpa diawasi dengan ketat telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius. Kajian dari pertubuhan yang tertentu menunjukkan hujan asid telah bertambah dengan kadar yang cepat di kawasan-kawasan perindustrian dan pencemaran sungai, laut, udara serta darat juga telah meningkat. Langkah-langkah segera harus diambil bagi menghalang atau memperbaiki pencemaran alam sekitar ini sebelum ia mencapai tahap yang kritikal.

(ii)  Perkembangan industri yang pesat telah mempercepatkan proses perbandaran (Urbanization), ini secara langsung menyebabkan kekurangan tenaga buruh yang begitu ketara dalam bidang pertanian. Keadaan ini telah menyediakan peluang keemasan bagi pendatang-pendatang haram bertapak di sini dan menimbulkan berbagai masalah sosial.

Penyediaan Pelan Induk Perindustrian merupakan satu langkah yang kritikal untuk Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.
Ini lebih ketara apabila dilihat bahawa walaupun sektor pembuatan telah berkembang dengan pesat, keadaan kemelesetan ekonomi dunia telah menunjukkan beberapa kelemahan strukturnya. Dengan adanya PIP, matlamat strategi dan halacara untuk Malaysia memasuki zaman perindustrian yang lebih sophisticated dan kompetitif adalah berpadu dan komprehensif.