Sejarah Penubuhan
Suruhanjaya Pilihan
Raya Malaysia ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 114
Perlembagaan Persekutuan. Semasa penubuhannya Suruhanjaya Pilihan Raya
dianggotai oleh seorang Pengerusi dan 2 orang Ahli.
Pengerusi pertama
Suruhanjaya ialah Y.Bhg. Dato' Dr. Mustafa Albakri bin Haji Hassan, manakala
Ahli-ahlinya terdiri daripada Encik Lee Ewe Boon dan Encik Ditt Singh.
Berikutan dengan
penubuhan Malaysia pada tahun 1963, bilangan Ahli Suruhanjaya ditambah kepada 3
orang. Ahli tambahan itu sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik secara
bergilir. Y.Bhg. Datuk Abang Haji Marzuki bin Nor dari Sarawak menjadi ahli
pertama mewakili 2 negeri berkenaan. Pada tahun 1981, pindaan ke atas Perkara
114 Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi membolehkan pelantikan seorang
Timbalan Pengerusi. Encik Abdul Rahman bin Abu Hassan merupakan orang pertama
mengisi jawatan Timbalan Pengerusi. Pada tahun 2002, pindaan kepada
Perlembagaan Persekutuan diluluskan bagi menambah keanggotaan Suruhanjaya
Pilihan Raya menjadi 7 orang iaitu Seorang Pengerusi, seorang Timbalan
Pengerusi dan 5 orang Ahli termasuk seorang ahli dari Sabah dan seorang ahli
dari Sarawak. Bagi membolehkan ia menjalankan fungsinya, Suruhanjaya Pilihan
Raya membentuk sebuah Urus Setia yang diketuai oleh seorang Setiausaha.
Setiausaha ini berperanan sebagai ketua pentadbir bagi urus setia berkenaan.
Setiausaha pertama yang dilantik ialah Encik H. Cassidy yang berkhidmat dari
tahun 1957 hingga 1958.
Sejak penubuhannya
pada tahun 1957 sehingga 1978, Ibu Pejabat Suruhanjaya terletak di Bangunan
Sultan Abdul Samad, Jalan Clark, Kuala Lumpur. Dari tahun 1978 hingga 1985
Suruhanjaya Pilihan Raya beroperasi di Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Bukit
Bintang, Kuala Lumpur. Pada tahun 1985 ia berpindah ke Bangunan Tong Ah, Jalan
P.Ramlee dan beroperasi di sana sehingga tahun 1988 sebelum berpindah pula ke
Aras 5-8, Menara Bank Pembangunan, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Pada
bulan November 2000 Ibu Pejabat Suruhanjaya berpindah ke lokasi sekarang di Putrajaya.
Fungsi utama
Suruhanjaya Pilihan Raya adalah seperti yang berikut:-
1) membuat kajian dan persempadanan semula Bahagian-bahagian
Pilihan Raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada 8 tahun selepas
tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;
2) menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar
pemilih; dan
3) menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan
Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku
kekosongan.
Dasar Suruhanjaya
Pilihan Raya adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi
di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan adil. Adalah menjadi
tanggungjawab Suruhanjaya bagi memastikan rakyat dapat memilih wakil-wakil
mereka melalui undian terus dalam setiap pilihan raya.