Latarbelakang
Semasa
pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana
Menteri telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk
"Malaysia-Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan
rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun
2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".
Wawasan
2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada
perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional
dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini
telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai
pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh
yang akan ditempuh oleh negara.
Matlamat
terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang
benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad
kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan:
ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Menjelang
tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang
benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan
menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik,
bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya
ketahanan yang tinggi.
Ini
bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia
akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara
dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah
kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian
lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu
masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh
dicontohi oleh negara-negara lain.
Objektif
Objektif
di atas hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi dan
mengatasi pelbagai halangan/rintangan yang dianggap sebagai cabaran. Di bawah
ini diperturunkan sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:
(i)
Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa
dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat
wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil
dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan
dedikasi kepada negara;
(ii) Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain; (iii) Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun; (iv) Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi; (v) Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara; (vi) Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan; (vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh; (viii) Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan (ix) Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental. Perspektif
Cabaran-cabaran
di atas sebenarnya telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi
bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:-
(i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud
sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui
kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah
menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu
pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk
maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan
negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami
dan diamalkan.
(ii) Negara Perindustrian
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada
pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan
2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang
telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di
pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan
transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga
melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan
kebudayaan.
Masyarakat
negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran
sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau
mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan
memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi
yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan
sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal,
pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan
menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah
besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
(iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang
tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi
penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara
maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai
segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam. (iv) Moral dan Etika
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan
kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang
kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama.
Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa
nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan
keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan
nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan
menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau
kekayaan yang dimiliki.
(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu
pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas
pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini
membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan
terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana
keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu
yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang
merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan
budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini
hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari
kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil
langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang
sempurna .
Penutup
Sekali
imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana
ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara
perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh
kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan
cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika,
kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.
Wawasan
2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka
kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil
langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang
benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan
beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang
dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada
sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih
dinamik.
|
Wawasan 2020
Subscribe to:
Posts (Atom)