Google+ Followers

Sogososha Malaysia

Latarbelakang 

Sogoshosha atau syarikat perdagangan am adalah satu konsep yang diperkenalkan di negara Jepun. Untuk mencapai taraf sogoshosha, sesebuah syarikat perdagangan mestilah memenuhi tiga ciri penting iaitu mempunyai rangkaian antarabangsa, mengendali barang dagangan yang banyak dan memainkan peranan utama di bidang perdagangan luar. Di negara Jepun 'Sogoshosha' adalah merupakan satu panggilan/title yang diberikan kepada beberapa syarikat perdagangan am yang terkenal yang telah mencapai pusingan sebanyak US$20 billion setahun. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa peranan yang dimainkan oleh sogoshosha telah diiktirafkan sebagai satu dari sebab-sebab negara berkenaan mencapai kejayaan yang cemerlang di bidang perdagangan luar. Pengalaman negara tersebut telah memberi inspirasi kepada beberapa buah negara membangun termasuk Malaysia, untuk menubuhkan sogoshosha masing-masing sebagai institusi bagi memajukan ekspot mereka.
 
Rasional

Berdasarkan jangkaan kadar pertumbuhan di negara-negara perindustrian dan juga perdagangan antarabangsa yang lembab serta langkah perlindungan yang semakin meluas, Malaysia perlu mencari strategi baru di bidang perdagangan luar. Di masa yang sama, usaha-usaha mempercepatkan perkembangan ekonomi negara. Pencapaian matalamat ini memerlukan Malaysia memulakan strategi menggalakkan ekspot keluarannya secara besar-besaran. Oleh itu, strategi pemasaran barang untuk diekspot mestilah dirangka  dengan teliti bagi mengatasi halangan dan sekatan yang ada. 

Penubuhan sogoshosha adalah diharapkan sebagai satu daripada strategi membantu negara dalam pemasaran barang ekspot. Sogoshosha ini juga akan menjadi alat untuk mendapat maklumat strategik mengenai pasaran-pasaran ekspot dan kontrak kerja di luar negeri menerusi rangkaian antarabangsa.
 
Objektif

Sebagai institusi yang akan membantu Malaysia di bidang perdagangan antarabangsa, sogoshosha Malaysia ditubuhkan dengan objektif-objektif berikut:-

(a)  Menggalakkan ekspot tradisional ke pasaran bukan tradisional dan juga kepada pengguna-pengguna baru termasuk dipasaran tradisional.

(b) Menggalakkan ekspot bukan tradisional.

(c) Mengembangkan peluang-peluang antarabangsa dari segi menggalakkan pelaburan secara usahasama di sektor industri di Malaysia untuk keperluan pasaran dalam dan luar negeri.

(d)  Menggalakkan pemindahan pengetahuan dan teknologi baru.

(e)  Menggalakkan ekspot tak ketara (invisible) Malaysia di luar
  negeri.

Strategi Pelaksanaan

Strategi pelaksanaan konsep sogoshosha ini adalah dilakukan secara menyeluruh selaras dengan dasar-dasar baru kerajaan seperti Persyarikatan Malaysia. Malah sogoshosha adalah dianggap sebagai peringkat permulaan bagi pencapaian matalamat Persyarikatan Malaysia.

Kerajaan sedang merangka satu definasi tetap mengenai sogoshosha dan peraturan-peraturan mengenainya. Beberapa kemudahan-kemudahan dan bantuan adalah dalam pertimbangan untuk diberi kepada syarikat sogoshosha tanpa menggangu atau mengenepikan syarikat perdagangan am yang lain. Pertimbangan sedang dibuat supaya galakan-galakan cukai dan kewangan diberikan kepada syarikat yang terlibat, yang mana diantara lainnya termasuk:

(a)  Galakan Kredit 
Diberikan kepada syarikat tempatan yang menghadapi masalah kewangan untuk melaksanakan kegiatan ekspot di luar negeri.

(b)  Galakan Cukai 
Misalnya elaun galakan ekspot dan lain-lain pengecualian cukai di bawah Akta Galakan Pelaburan 1968, Akta Kastam 1977 dan Akta Eksais 1976.

(c)  Lain-lain Galakan Serta Khidmat Sokongan 
Misalnya penglibatan Pejabat Perusahaan Perdagangan Malaysia di luar negeri dan sebagainya.

Dalam menyediakan galakan di atas, ianya akan diberikan kepada syarikat yang berjaya membuktikan keupayaan mereka untuk meningkatkan ekspot barangannya dan juga berjaya mempelbagaikan ekspot, terutama ke pasaran bukan tradisional.
 
Penutup

Bagi mencapai kejayaan dalam pelaksanaan dasar ini di masa depan, Malaysia mesti bekerja keras untuk menghadapi cabaran-cabaran dan mengatasi masalah yang timbul. Sekiranya berjaya, kesan 'synergy' yang diperolehi daripada penubuhan sogoshosaha ini pasti akan dapat membantu mempertingkatkan perkembangan perindustrian dan ekonomi negara. Dalam melaksanakan strategi sogoshosha, perhatian hendaklah diambil agar kelonggaran cukai dan bantuan kewangan tidak bercanggah dengan peraturan yang dikenakan oleh GATT dan negara-negara pengimpot.

Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara


Latarbelakang 

Daya pengeluaran dihuraikan oleh pelbagai pakar atau penulis dengan pelbagai cara. Satu daripada takrif-takrif daya pengeluaran yang diketengahkan ialah nisbah di antara jumlah pengeluaran dan faktor-faktor pengeluaran. Ada juga yang mentakrifkannya sebagai pengukuran nilai barang yang di keluarkan dengan kos yang rendah. Daya pengeluaran juga telah ditakrifkan sebagai nisbah hasil dan jumlah kos buruh. Ini bermakna daya pengeluaran tidak serupa dengan jumlah pengeluaran dan peningkatan daya pengeluaran tidak semestinya dicapai melalui peningkatan jumlah pengeluaran semata-mata.

Pada masa ini, kadar pertumbuhan ekonomi dunia telah mengalami kemerosotan dan ini disertai pula dengan kadar pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang lembab. Oleh itu untuk mencapai kadar perkembangan ekonomi yang berterusan di dalam suasana yang mencabarkan ini, setiap negara baik negara perindustrian ataupun negara membangun seperti Malaysia perlulah meningkatkan pendapatan masing-masing ke tahap yang paling maksima. Satu daripada pendekatan yang sesuai bagi mencapai matlamat ini ialah melalui peningkatan daya pengeluaran negara yang mana ianya menglibatkan kedua-dua sektor awam dan sektor swasta serta meliputi semua jenis dan peringkat pekerjaan.
 
Rasional

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia memerlukan penambahan hasil pendapatan yang meningkat supaya kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dapat dicapai. Dalam konteks ini pengembelingan tenaga daripada sektor awam dan swasta adalah diperlukan. Di samping itu kedua-dua sektor ini perlu juga meningkatkan daya pengeluaran bagi menentukan sumber-sumber ekonomi negara digunakan dengan cara yang optima.

Daya pengeluaran sektor awam adalah penting untuk menjayakan pencapaian matlamat pembangunan negara. Dengan demikian ianya perlu terus dipertingkatkan memandangkan bahawa tanggungan perbelanjaan sektor ini adalah tinggi. Di samping itu memang terdapat persoalan terhadap mutu perkhidmatan yang diberi.

Peningkatan daya pengeluaran di sektor swasta adalah sama pentingnya. Untuk mempastikan sektor ini dapat bersaing di pasaran bebas antarabangsa, buat masa ini kebanyakan syarikat besar dalam negara terutama sektor pembuatan, diberi bantuan dan sokongan sama ada dari segi perlindungan pasaran atau galakan cukai. Sekiranya peningkatan daya pengeluaran ini tidak diusaha, kecekapan dan keupayaan sektor perindustrian untuk bersaing sama ada di dalam atau di luar negeri mungkin terhad apabila perlindungan atau galakan yang diberi oleh Kerajaan tamat.
 
Objektif

Matlamat peningkatan daya pengeluaran negara bolehlah dikategorikan kepada berikut:-

a)  Untuk meninggikan kadar pertumbuhan ekonomi dan menyusun semula  struktur dan ketidakseimbangan ekonomi dalam negara.

(b)  Untuk mempastikan penggunaan sumber-sumber negara dengan optima  dan mengelakkan pembaziran yang merugikan.

(c)  Untuk memperkukuhkan asas perindustrian supaya ianya dapat  bersaing di pasaran bebas antarabangsa dengan berkesan.

Strategi Pelaksanaan

Secara kasar pendekatan untuk meningkatkan daya pengeluaran negara dilaku melalui beberapa  cara-cara berikut:-

(a)  Pembaikan kepada Sistem dan Organisasi
 
Cara ini melibatkan pembaikan keseluruhan terhadap sesuatu organisasi dari segi objektif, strategi dan tatacara kerja, sistem maklumat, sistem fail dan lain-lain. Pendekatan ini didapati perlu untuk menghapuskan kelambatan kerja (bottleneck), pembaziran masa, peranan yang bertindih (overlapping), penyelarasan yang kurang memuaskan, kekurangan perancangan dan sebagainya. Latihan di peringkat pengurusan dan kakitangan rendah di bidang-bidang tertentu juga diadakan di dalam pelaksanaan strategi ini.

(b)  Penggunaan teknologi yang sesuai
 
Dalam menggalakkan penggunaan teknologi yang sesuai, penekanan dibuat kepada pemindahan teknologi dengan berkesan supaya negara kurang bergantung kepada sumber-sumber teknologi dari luar negeri. Teknologi yang dimaksudkan ini bukanlah terhad kepada jentera dan kemahiran sahaja tetapi juga pengurusan organisasi yang termoden.

(c)  Penerapan nilai baru 

Strategi ini melibatkan penyemaian di kalangan pemimpin-pemimpin, pengurus-pengurus, pekerja-pekerja dan rakyat terhadap nilai-nilai dan etika kerja yang menitikberatkan kerja bersungguh-sungguh, kesetiaan kepada perusahaan, dedikasi dan sikap berdikari. Antara lain strategi ini mengutarakan slogan Kepimpinan melalui teladan, Bersih, Cekap dan Amanah dan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam.

(d)  Dasar-dasar baru
 
Pada masa ini Kerajaan telah menggubalkan dasar baru yang boleh membantu pencapaian matlamat peningkatan daya pengeluaran. Di antara dasar-dasar yang penting ialah:-

(i)  Dasar Memandang ke Timur 

Usaha untuk mengubah sikap pekerja dan majikan ke arah pencapaian yang baik serta kepentingan golongan yang mana akan meningkatkan daya pengeluaran di dalam masyarakat Malaysia.

(ii)  Dasar Perindustrian Berat

Menggalakkan serta menggunakan kemajuan teknologi yang sesuai dan mengandungi cara-cara yang baik dan moden yang cekap dan berkesan.

(iii)  Dasar Pengswastaan 

Mengswastakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak awam bagi menggalakkan persaingan dan menambahkan daya pengeluaran agensi berkenaan.

(iv)  Dasar Persyarikatan Malaysia 

Mewujudkan suasana kerja yang harmoni di antara sektor awam dan sektor swasta. 

(v)  Dasar Sogoshosha

untuk mendapatkan 'synergy' dalam aktiviti perdagangan luar.

(vi)  Dasar Pertanian Negara
 
Untuk menggubal strategi dan halacara baru dalam mencapai pembangunan pertanian dan luar bandar.  

Penutup

Untuk mencapai matlamat peningkatan daya pengeluaran, ianya bukanlah melibatkan proses yang senang dan mengambil masa yang pendik. Pencapaiannya memerlukan daya usaha yang gigih dan menyeluruh bukan sahaja dari segi menggubalkan dasar tertentu tetapi juga mendapatkan kerjasama keseluruhan masyarakat di dalam negeri. Oleh itu peningkatan daya pengeluaran hendaklah dianggap sebagai satu pendekatan atau falsafah dalam pengurusan dan nilai kerja yang sewajarnya berlaku secara berterusan.


Dasar Urbanisasi Negara


Latarbelakang

Setakat ini tidak ada dasar Urbanisasi Negara yangkomprehensif  dan  yang telah diistiharkan secara rasmi oleh kerajaan. Walaubagaimanapun  terdapat  beberapa strategi  dan  pendekatan  berhubung dengan pembangunan bandar terutamanya dalam  konteks  pencapaian  matlamat pembangunan negara yang berasaskan DEB.

Kerajaan menganggap bahawa proses urbanisasi yangdi rancang dan dikawal adalah merupakan  satu  strategi penting  untuk mencapai matlamat DEB di samping memupuk perseimbangan ekonomi di antara bandar dan luarbandar. Selaras   dengan  ini  kerajaan  telah  menubuhkan  dua Jawantankuasa Tertinggi, satu dianggotai oleh ahli-ahli politik dengan  dipengerusikan  oleh  Timbalan  Perdana Menteri  dan satu lagi dianggotai oleh pegawai- pegawai Tadbir dengan dipengurusikan oleh Ketua  Pengarah  Unit Perancang   Ekonomi. Tugas kedua-dua jawatankuasa in ialah  untuk  merancang   dan   merangka   satu   dasar Urbanisasi Negara yang lengkap dan komprenhensif.

Rasional

Pembangunan bandar yang seimbang adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu.  Ini akan  tercapai melalui  pengurangan  jurang  perbezaan  antara wilayah supaya  faedah   daripada   pembangunan   ekonomi   dan perkhidmatan   asas  bandaran  dapat  diagihkan  secara meluas dan saksama di seluruh negara.   Dalam  hal  ini pembentukan   dasar   urbanisasi   negara   akan  dapat mengwujudkan pembangunan pusat-pusat bandar yang  lebih teratur  dalam  satu  rangkaian pusat-pusat bandar yang lebih padat dan  yang  mengandungi  bandar-bandar  yang berbeza dari segi saiz dan peranannya.

Rantaian perhubungan antara bandar dengan luarbandar yang lebih berkesan bukan sahaja membolehkan lebih ramai isi rumah luarbandar menyertai kegiatan-kegiatan berasaskan bandar yang mempunyai daya pengeluaran   yang tinggi tetapi juga dapat mempercepatkan proses pemodenan kawasan-kawasan luarbandar.

Objektif

Selaras dengan usaha kerajaan untuk membentuk satu Dasar  Urbanisasi  Negara; objektif-objektif dasar yang khusus sedang dirangka. Dalam hal ini faktor-faktor berikut  yang  berkaitan  dengan  proses urbanisasi dan hubungannya dengan  pembangunan  ekonomi  akan  diambil kira:-

(i)  Proses demographi dan urbanisasi.

(ii) Keadaan perkaitan yang rapat yang wujud di antara proses pembangunan sosio-  ekonomi dengan proses dan pola-pola urbanisasi

(iii) Kesan 'spatial' berikutan dengan perlaksanaan dasar dan program di peringkat  negara dan wilayah.

(iv) Dimensi-dimensi khusus dari segi proses perbandaran

(v) Peralatan-peralatan dasar (Policy Instrument) yang telah dirangka untuk mencapai matlamat DEB.

Strategi Pelaksanaan

Dalam  usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara melalui proses pembangunan bandar yang dirancang dan dikenalpasti maka kerajaan telah merangka beberapa strategi khusus.  

Di antaranya ialah:

(i)   Mempastikan pembangunan bandar dengan lebih seimbang dari segi pembangunan fizikal, susunan kaum dan penyertaan dalam pembangunan bandar melalui pengurusan sumber yang lebih cekap seperti tanah, pengangkutan, perumahan, tenaga manusia dan infrastruktur sosial.

(ii) Mempercepatkan proses pembandaran di kawasan luarbandar dengan cara melibatkan peneroka-peneroka di sekim pembangunan tanah dan penduduk-penduduk di kawasan in-situ dalam kegiatan-kegiatan ekonomi bandar melalui perkembangan perkhidmatan,perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil. Penyertaan tersebut adalah bertujuan untuk mengurangkan pengaliran pendapatan kekawasan lain dan juga untuk menerapkan unsur-unsur pembangunan bagi mempergiatkan ekonomi tempatan.

(iii)  Mempastikan pembangunan secara teratur di pusat-pusat bandar yang sedia ada dengan mengambilkira keadaan tempatan. Selaras dengan tujuan ini pelan-pelan struktur bagi pusat-pusat utama dan pelan-pelan tempatan bagi umpulan-kumpulan pusat-pusat bandar kecil akan disediakan. Pelan-pelan ini akan menjadi garispanduan bagi pembangunan dan pembaharuan semula bandar di samping meningkatkan kecekapan dalam perancangan-perancangan kawasan-kawasan bandar.

(iv) Mempercepatkan pembangunan bandar didalam kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah dengan cara mengkaji kemungkinan-kemungkinan memperluaskan liputan dan bidang penglibatan sektor swasta selaras dengan usaha menggalakkan pembangunan kegiatan-kegiatan bandar terutamanya pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan dalam kawasan-kawasan pembangunan wilayah berkenaan.

(v) Memperkenalkan konsep memperbandarkan kampung-kampung dengan cara pengelompokan kampung-kampung kecil yang terletak berdekatan bagi dijadikan bandar kecil atau pusat pembangunan desa di mana kegiatan-kegiatan perindustrian kecil, perniagaan dan pertanian secara komersial dapat diwujudkan.

Pencapaian

Sungguhpun pencapaian dari segi pelaksanaan  dasar dan masalah yang berbangkit tidak dapat ditukarkan oleh kerana  dasar urbanisasi negara yang komperhensif masih dalam peringkat persediaan, beberapa  pencapaian  telah dihasilkan  berikutan  daripada  perlaksanaan  strategi pembangunan  bandar  tertentu  sepertimana  yang  telah dihuraikan di atas.

Dalam usaha untuk mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang terutama dari segi pembangunan fisikal, susunan kaum dan penyertaan  dalam  kegiataan-kegiataan ekonomi perbandaran, Kerajaan telah dapat mewujudkan lapan Lembaga Kemajuan Wilayah  di kawasan-kawasan pinggiran yang kurang maju (frontier regions) dan tidak kurang daripada 32 kawasan projek pembangunan pertanian secara berpadu (IADP'S) di kawasan-kawasan tradisional (traditional agriculture areas.)

Kesan daripada kejayaan pelaksanaan usaha-usaha ini telah  dicerminkan  oleh  peningkatan  kepada  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di semua negeri.

Walaubagaimanapun strategi kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan bandar di dalam kawasan-kawasan  Lembaga  Kemajuan  Wilayah agak kurang berjaya. Walaupun 30 daripada 36 buah bandar baru telah dapat diwujudkan, bilangan penduduk di bandar-bandar ini pada akhir tahun 1983 hanya berjumlah 89,400 orang. Ini merupakan hanya 30.3% daripada matlamat yang ditetapkan untuk sehingga 1985. Strategi kerajaan untuk membandarkan kawasan-kawasan luarbandar terutama di rancangan-rancangan Felda dan kawasan-kawasan In-Situ yang  mundur,juga kurang berjaya. Walaupun bilangan penduduk di kawasan-kawasan ini tidak menjadi masalah tetapi usaha untuk meluaskan kegiatan ekonomi perbandaran seperti perkembangan      perkhidmatan, perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil amat terbatas. Ini menyebabkan pengaliran  keluar pendapatan di samping tenaga pekerja ke lain-lain kawasan terutama ke bandar-bandar yang sedia ada.

Sebagai satu usaha untuk membaiki keadaan ini kerajaan telah membentuk satu strategi yang baru iaitu 'Halacara Baru Dalam   pembangunan Kampong dan Luarbandar'. Usaha ini melibatkan pembentukan pusat-pusat pembangunan desa melalui proses penyatuan kampung-kampung yang berdekatan di samping menggalakkan penyatuan tanah-tanah pertanian yang tidak ekonomik dari  segi saiz dan pertumbuhan industri-industri kecil kampung.  Setakat ini kerajaan telah pun  mengenalpasti sebanyak 27 kampong terutama di negeri-negeri kurang maju untuk melaksanakan program ini.

Selaras dengan usaha untuk mempastikan wujud pembangunan secara teratur di bandar-bandar yang sedia ada kerajaan telah mengenalkan konsep 'Pelan  Struktur' dan 'Pelan Tempatan' (Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976). Setakat ini banyak bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur,Ipoh, Johor Bharu, dan Kota Bharu telah mempunyai pelan strukturnya sendiri.

PENCAPAIAN DASAR SEHINGGA 1990

Oleh kerana Dasar Urbanisasi Negara tidak mempunyai program yang khusus dan menyeluruh maka sukar untuk kita mengukur dengan  tepat prestasi perlaksanaannya.Dalam  mengukur  prestasi  proses  urbanisasi dua aspek di ambil kira iaitu :-

1. Penyusunan Semula Masyarakat

(i)   Perlaksanaan pembangunan bandar masih lagi tertumpu di bandar-bandar utama sahaja di mana banyak peluang-peluang pekerjaan diwujudkan. Akibatnya bumiputera ketinggalan dalam persaingan dengan bukan bumiputera yang sememangnya telah menguasai kependudukan dan ekonomi bandar-bandar utama. Dengan ini perseimbangan kaum dalam pembahagian ekonomi dan penyusunan masyarakat tidak tercapai.

(ii)   Peningkatan penduduk di kawasan bandar telah bertambah dari 28.6% pada tahun 1970 kepada 37.5% pada tahun 1980 dan dijangka akan meningkat 44.7% pada dekad 90. Dari peratus pertambahan ini, bumiputera telah bertambah sebanyak 14%.

(iii) Hasil dari penghijrahan penduduk bandar dan perluasan pengkelasan semula sempadan bandar saiz sederhana seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Taiping,penduduk bandar telah meningkat 23% lebih cepat dari penduduk luar bandar.

(iv)   Sehingga akhir tahun 1985,pelan-pelan struktur bagi Kuala Lumpur dan Johor telah disediakan, sementara itu 12 lagi pelan-pelan struktur di antaranya pelan struktur Seberang Perai, Seremban, Kuala Terengganu dalam peringkat penyediaan.

(v)   Strategi pembangunan bandar baru di kawasan di Lembah Kemajuan Wilayah juga didapati kurang berjaya. Peluang pekerjaan yang bukan pertanian hanya sedikit sahaja dapat diwujudkan di kawasan-kawasan bandar baru. Begitu juga dengan pertumbuhan penduduk,hingga akhir tahun 1985 penduduk bandar baru kurang 1/3 daripada penduduk bandar keseluruhannya.

(vi) Dalam usaha UDA untuk menyusun semula masyarakat melalui program pembangunan semula, UDA telah berjaya membangunkan semula beberapa kawasan bandar seperti kawasan Bangsar Utama, kawasan Jalan Raja Abdullah dan juga kawasanTanjung Tokong dan Bukit Jambul di Pulau Pinang.

2. Pengagihan dan Perseimbangan Ekonomi

(i)   Sumbangan ekonomi bandar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah meningkat dari 66% pada tahun 1970 kepada 70% pada tahun 1980. Pertumbuhan ini dijangka akan meningkat melebihi 70% pada dekad 90. Jelas terbukti ekonomi bandar telah memberi sumbangan besar kepada KDNK.

(ii)   Sehingga akhir tahun 1988, hasil perangkaan dibuat menunjukkan bahawa hampir keseluruhan ekonomi bandar tertumpu di beberapa kawasan bandar utama seperti Butterworth dan Pasir Gudang. Ini menunjukkan pengagihan ekonomi bandar dan luar bandar tidak berlaku secara seimbang.

(iii)   Secara keseluruhannya,pendapatan di antara bumiputera dengan bukan bumiputera dalam sektor pembuatan, pembinaan, perniagaan, kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan masih menampakan perbezaan yang ketara. Pendapatan min bumiputera adalah lebih rendah dari pendapatan min bukan bumiputera

(iv)   Ketidakseimbangan juga wujud di antara wilayah. Wilayah-wilayah yang sedia maju seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor masih mempunyai KDNK per kapita yang tinggi jika dibandingkan dengan wilayah-wilayah lain seperti Wilayah Utara atau Wilayah Timur.

(v)  Dalam hal mengseimbangkan ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, proses urbanisasi telah berjaya menambah pemilikan equiti bumiputera dalam sektor koporat dari tahun 1970 - 1988 sebanyak 17% sementara bukan bumiputera sebanyak 21.7%.

Penutup

Pembangunan bandar yang  ada  dan yang akan diadakan selaras dengan usaha pembentukan satu Dasar Urbanisasi Negara yang komprehensif amatlah penting bagi menjamin pencapaian kepada matlamat pembangunan negara. Hasrat kerajaan ialah untuk mempastikan supaya proses urbanisasi, corak dan tahap pembangunan matlamat DEB secara lebih berkesan lagi.

Setelah melihat perkembangan ekonomi dan pengaruh kependudukan membuktikan bahawa satu dasar urbanisasi yang komprehensif  haruslah dilaksanakan dengan segera untuk mencapai matlamat pembangunan negara dan DEB.Tanpa dasar yang lengkap akan menyebabkan pertumbuhan bandar yang tidak seimbang dan seterusnya tidak membantu pembangunan negara sepenuhnya. Penumpuan aktiviti sosioekonomi di beberapa bandar tertentu sahaja juga akan merugikan penduduk bumiputera yang kebanyakannya tinggal di luar bandar.