Latarbelakang
Sogoshosha atau syarikat
perdagangan am adalah satu konsep yang diperkenalkan di negara Jepun. Untuk
mencapai taraf sogoshosha, sesebuah syarikat perdagangan mestilah memenuhi
tiga ciri penting iaitu mempunyai rangkaian antarabangsa, mengendali barang
dagangan yang banyak dan memainkan peranan utama di bidang perdagangan luar.
Di negara Jepun 'Sogoshosha' adalah merupakan satu panggilan/title yang
diberikan kepada beberapa syarikat perdagangan am yang terkenal yang telah
mencapai pusingan sebanyak US$20 billion setahun. Adalah tidak dapat
dinafikan bahawa peranan yang dimainkan oleh sogoshosha telah diiktirafkan
sebagai satu dari sebab-sebab negara berkenaan mencapai kejayaan yang
cemerlang di bidang perdagangan luar. Pengalaman negara tersebut telah memberi
inspirasi kepada beberapa buah negara membangun termasuk Malaysia, untuk
menubuhkan sogoshosha masing-masing sebagai institusi bagi memajukan ekspot
mereka.
Rasional
Berdasarkan jangkaan kadar
pertumbuhan di negara-negara perindustrian dan juga perdagangan antarabangsa
yang lembab serta langkah perlindungan yang semakin meluas, Malaysia perlu
mencari strategi baru di bidang perdagangan luar. Di masa yang sama,
usaha-usaha mempercepatkan perkembangan ekonomi negara. Pencapaian matalamat
ini memerlukan Malaysia memulakan strategi menggalakkan ekspot keluarannya
secara besar-besaran. Oleh itu, strategi pemasaran barang untuk diekspot
mestilah dirangka dengan teliti bagi mengatasi halangan dan sekatan
yang ada.
Penubuhan sogoshosha adalah diharapkan sebagai satu daripada
strategi membantu negara dalam pemasaran barang ekspot. Sogoshosha ini juga
akan menjadi alat untuk mendapat maklumat strategik mengenai pasaran-pasaran
ekspot dan kontrak kerja di luar negeri menerusi rangkaian antarabangsa.
Objektif
Sebagai institusi yang akan
membantu Malaysia di bidang perdagangan antarabangsa, sogoshosha Malaysia
ditubuhkan dengan objektif-objektif berikut:-
(a) Menggalakkan ekspot
tradisional ke pasaran bukan tradisional dan juga kepada
pengguna-pengguna baru termasuk dipasaran tradisional.
(b) Menggalakkan ekspot bukan tradisional. (c) Mengembangkan peluang-peluang antarabangsa dari segi menggalakkan pelaburan secara usahasama di sektor industri di Malaysia untuk keperluan pasaran dalam dan luar negeri. (d) Menggalakkan pemindahan pengetahuan dan teknologi baru. (e) Menggalakkan ekspot tak ketara (invisible) Malaysia di luar negeri. Strategi Pelaksanaan
Strategi pelaksanaan konsep
sogoshosha ini adalah dilakukan secara menyeluruh selaras dengan dasar-dasar
baru kerajaan seperti Persyarikatan Malaysia. Malah sogoshosha adalah
dianggap sebagai peringkat permulaan bagi pencapaian matalamat Persyarikatan
Malaysia.
Kerajaan sedang merangka satu
definasi tetap mengenai sogoshosha dan peraturan-peraturan mengenainya.
Beberapa kemudahan-kemudahan dan bantuan adalah dalam pertimbangan untuk
diberi kepada syarikat sogoshosha tanpa menggangu atau mengenepikan syarikat
perdagangan am yang lain. Pertimbangan sedang dibuat supaya galakan-galakan
cukai dan kewangan diberikan kepada syarikat yang terlibat, yang mana
diantara lainnya termasuk:
(a) Galakan Kredit
Diberikan kepada syarikat tempatan yang menghadapi masalah kewangan
untuk melaksanakan kegiatan ekspot di luar negeri.
(b) Galakan Cukai
Misalnya elaun galakan ekspot dan lain-lain pengecualian cukai di
bawah Akta Galakan Pelaburan 1968, Akta Kastam 1977 dan Akta Eksais 1976.
(c) Lain-lain Galakan Serta Khidmat Sokongan
Misalnya penglibatan Pejabat Perusahaan Perdagangan Malaysia di luar
negeri dan sebagainya.
Dalam menyediakan galakan di atas, ianya akan diberikan kepada syarikat yang berjaya membuktikan keupayaan mereka untuk meningkatkan ekspot barangannya dan juga berjaya mempelbagaikan ekspot, terutama ke pasaran bukan tradisional.
Penutup
Bagi mencapai kejayaan dalam
pelaksanaan dasar ini di masa depan, Malaysia mesti bekerja keras untuk
menghadapi cabaran-cabaran dan mengatasi masalah yang timbul. Sekiranya
berjaya, kesan 'synergy' yang diperolehi daripada penubuhan sogoshosaha ini
pasti akan dapat membantu mempertingkatkan perkembangan perindustrian dan
ekonomi negara. Dalam melaksanakan strategi sogoshosha, perhatian hendaklah
diambil agar kelonggaran cukai dan bantuan kewangan tidak bercanggah dengan
peraturan yang dikenakan oleh GATT dan negara-negara pengimpot.
|
Sogososha Malaysia
Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara
Latarbelakang
Daya pengeluaran dihuraikan oleh
pelbagai pakar atau penulis dengan pelbagai cara. Satu daripada takrif-takrif
daya pengeluaran yang diketengahkan ialah nisbah di antara jumlah pengeluaran
dan faktor-faktor pengeluaran. Ada juga yang mentakrifkannya sebagai
pengukuran nilai barang yang di keluarkan dengan kos yang rendah. Daya
pengeluaran juga telah ditakrifkan sebagai nisbah hasil dan jumlah kos buruh.
Ini bermakna daya pengeluaran tidak serupa dengan jumlah pengeluaran dan
peningkatan daya pengeluaran tidak semestinya dicapai melalui peningkatan
jumlah pengeluaran semata-mata.
Pada masa ini, kadar pertumbuhan
ekonomi dunia telah mengalami kemerosotan dan ini disertai pula dengan kadar
pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang lembab. Oleh itu untuk mencapai
kadar perkembangan ekonomi yang berterusan di dalam suasana yang mencabarkan
ini, setiap negara baik negara perindustrian ataupun negara membangun seperti
Malaysia perlulah meningkatkan pendapatan masing-masing ke tahap yang paling
maksima. Satu daripada pendekatan yang sesuai bagi mencapai matlamat ini
ialah melalui peningkatan daya pengeluaran negara yang mana ianya
menglibatkan kedua-dua sektor awam dan sektor swasta serta meliputi semua jenis
dan peringkat pekerjaan.
Rasional Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia memerlukan penambahan hasil pendapatan yang meningkat supaya kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dapat dicapai. Dalam konteks ini pengembelingan tenaga daripada sektor awam dan swasta adalah diperlukan. Di samping itu kedua-dua sektor ini perlu juga meningkatkan daya pengeluaran bagi menentukan sumber-sumber ekonomi negara digunakan dengan cara yang optima.
Daya pengeluaran sektor awam
adalah penting untuk menjayakan pencapaian matlamat pembangunan negara.
Dengan demikian ianya perlu terus dipertingkatkan memandangkan bahawa
tanggungan perbelanjaan sektor ini adalah tinggi. Di samping itu memang
terdapat persoalan terhadap mutu perkhidmatan yang diberi.
Peningkatan daya pengeluaran di
sektor swasta adalah sama pentingnya. Untuk mempastikan sektor ini dapat
bersaing di pasaran bebas antarabangsa, buat masa ini kebanyakan syarikat
besar dalam negara terutama sektor pembuatan, diberi bantuan dan sokongan
sama ada dari segi perlindungan pasaran atau galakan cukai. Sekiranya
peningkatan daya pengeluaran ini tidak diusaha, kecekapan dan keupayaan
sektor perindustrian untuk bersaing sama ada di dalam atau di luar negeri
mungkin terhad apabila perlindungan atau galakan yang diberi oleh Kerajaan
tamat.
Objektif
Matlamat peningkatan daya
pengeluaran negara bolehlah dikategorikan kepada berikut:-
a) Untuk meninggikan kadar
pertumbuhan ekonomi dan menyusun semula struktur dan
ketidakseimbangan ekonomi dalam negara.
(b) Untuk mempastikan penggunaan sumber-sumber negara dengan optima dan mengelakkan pembaziran yang merugikan. (c) Untuk memperkukuhkan asas perindustrian supaya ianya dapat bersaing di pasaran bebas antarabangsa dengan berkesan. Strategi Pelaksanaan
Secara kasar pendekatan untuk
meningkatkan daya pengeluaran negara dilaku melalui beberapa cara-cara
berikut:-
(a) Pembaikan kepada Sistem
dan Organisasi
Cara ini melibatkan pembaikan keseluruhan terhadap sesuatu organisasi dari
segi objektif, strategi dan tatacara kerja, sistem maklumat, sistem fail dan
lain-lain. Pendekatan ini didapati perlu untuk menghapuskan kelambatan kerja
(bottleneck), pembaziran masa, peranan yang bertindih (overlapping),
penyelarasan yang kurang memuaskan, kekurangan perancangan dan sebagainya.
Latihan di peringkat pengurusan dan kakitangan rendah di bidang-bidang
tertentu juga diadakan di dalam pelaksanaan strategi ini.
(b) Penggunaan teknologi yang sesuai
Dalam menggalakkan penggunaan teknologi yang sesuai, penekanan dibuat kepada
pemindahan teknologi dengan berkesan supaya negara kurang bergantung kepada
sumber-sumber teknologi dari luar negeri. Teknologi yang dimaksudkan ini
bukanlah terhad kepada jentera dan kemahiran sahaja tetapi juga pengurusan
organisasi yang termoden.
(c) Penerapan nilai baru
Strategi ini melibatkan penyemaian di kalangan pemimpin-pemimpin,
pengurus-pengurus, pekerja-pekerja dan rakyat terhadap nilai-nilai dan etika
kerja yang menitikberatkan kerja bersungguh-sungguh, kesetiaan kepada
perusahaan, dedikasi dan sikap berdikari. Antara lain strategi ini
mengutarakan slogan Kepimpinan melalui teladan, Bersih, Cekap dan Amanah dan
Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam.
(d) Dasar-dasar baru
Pada masa ini Kerajaan telah menggubalkan dasar baru yang boleh membantu
pencapaian matlamat peningkatan daya pengeluaran. Di antara dasar-dasar yang
penting ialah:-
(i) Dasar Memandang ke Timur Usaha untuk mengubah sikap pekerja dan majikan ke arah pencapaian yang baik serta kepentingan golongan yang mana akan meningkatkan daya pengeluaran di dalam masyarakat Malaysia. (ii) Dasar Perindustrian Berat Menggalakkan serta menggunakan kemajuan teknologi yang sesuai dan mengandungi cara-cara yang baik dan moden yang cekap dan berkesan.
(iii) Dasar
Pengswastaan
Mengswastakan sebahagian daripada
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak awam bagi menggalakkan
persaingan dan menambahkan daya pengeluaran agensi berkenaan.
(iv) Dasar Persyarikatan Malaysia
Mewujudkan suasana kerja yang
harmoni di antara sektor awam dan sektor swasta.
(v) Dasar Sogoshosha
untuk mendapatkan 'synergy' dalam
aktiviti perdagangan luar.
(vi) Dasar Pertanian Negara
Untuk menggubal strategi dan halacara baru dalam mencapai pembangunan
pertanian dan luar bandar.
Penutup
Untuk mencapai matlamat
peningkatan daya pengeluaran, ianya bukanlah melibatkan proses yang senang
dan mengambil masa yang pendik. Pencapaiannya memerlukan daya usaha yang
gigih dan menyeluruh bukan sahaja dari segi menggubalkan dasar tertentu
tetapi juga mendapatkan kerjasama keseluruhan masyarakat di dalam negeri.
Oleh itu peningkatan daya pengeluaran hendaklah dianggap sebagai satu
pendekatan atau falsafah dalam pengurusan dan nilai kerja yang sewajarnya
berlaku secara berterusan.
|
Dasar Urbanisasi Negara
Latarbelakang
Setakat
ini tidak ada dasar Urbanisasi Negara yangkomprehensif dan yang
telah diistiharkan secara rasmi oleh kerajaan. Walaubagaimanapun
terdapat beberapa strategi dan pendekatan berhubung
dengan pembangunan bandar terutamanya dalam konteks
pencapaian matlamat pembangunan negara yang berasaskan DEB.
Kerajaan
menganggap bahawa proses urbanisasi yangdi rancang dan dikawal adalah
merupakan satu strategi penting untuk mencapai matlamat DEB
di samping memupuk perseimbangan ekonomi di antara bandar dan luarbandar.
Selaras dengan ini kerajaan telah
menubuhkan dua Jawantankuasa Tertinggi, satu dianggotai oleh ahli-ahli
politik dengan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana
Menteri dan satu lagi dianggotai oleh pegawai- pegawai Tadbir dengan
dipengurusikan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang
Ekonomi. Tugas kedua-dua jawatankuasa in ialah untuk
merancang dan merangka satu dasar
Urbanisasi Negara yang lengkap dan komprenhensif.
Rasional
Pembangunan
bandar yang seimbang adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang
penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu. Ini
akan tercapai melalui pengurangan jurang
perbezaan antara wilayah supaya faedah
daripada pembangunan ekonomi dan
perkhidmatan asas bandaran dapat
diagihkan secara meluas dan saksama di seluruh negara.
Dalam hal ini pembentukan dasar
urbanisasi negara akan dapat mengwujudkan
pembangunan pusat-pusat bandar yang lebih teratur dalam
satu rangkaian pusat-pusat bandar yang lebih padat dan yang
mengandungi bandar-bandar yang berbeza dari segi saiz dan
peranannya.
Rantaian
perhubungan antara bandar dengan luarbandar yang lebih berkesan bukan sahaja
membolehkan lebih ramai isi rumah luarbandar menyertai kegiatan-kegiatan
berasaskan bandar yang mempunyai daya pengeluaran yang tinggi
tetapi juga dapat mempercepatkan proses pemodenan kawasan-kawasan luarbandar.
Objektif
Selaras
dengan usaha kerajaan untuk membentuk satu Dasar Urbanisasi Negara;
objektif-objektif dasar yang khusus sedang dirangka. Dalam hal ini
faktor-faktor berikut yang berkaitan dengan proses
urbanisasi dan hubungannya dengan pembangunan ekonomi
akan diambil kira:-
(i) Proses demographi dan urbanisasi. (ii) Keadaan perkaitan yang rapat yang wujud di antara proses pembangunan sosio- ekonomi dengan proses dan pola-pola urbanisasi (iii) Kesan 'spatial' berikutan dengan perlaksanaan dasar dan program di peringkat negara dan wilayah. (iv) Dimensi-dimensi khusus dari segi proses perbandaran (v) Peralatan-peralatan dasar (Policy Instrument) yang telah dirangka untuk mencapai matlamat DEB. Strategi Pelaksanaan
Dalam
usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara melalui proses
pembangunan bandar yang dirancang dan dikenalpasti maka kerajaan telah
merangka beberapa strategi khusus.
Di antaranya ialah:
(i)
Mempastikan pembangunan bandar dengan lebih seimbang dari segi pembangunan
fizikal, susunan kaum dan penyertaan dalam pembangunan bandar melalui pengurusan
sumber yang lebih cekap seperti tanah, pengangkutan, perumahan, tenaga
manusia dan infrastruktur sosial.
(ii) Mempercepatkan proses pembandaran di kawasan luarbandar dengan cara melibatkan peneroka-peneroka di sekim pembangunan tanah dan penduduk-penduduk di kawasan in-situ dalam kegiatan-kegiatan ekonomi bandar melalui perkembangan perkhidmatan,perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil. Penyertaan tersebut adalah bertujuan untuk mengurangkan pengaliran pendapatan kekawasan lain dan juga untuk menerapkan unsur-unsur pembangunan bagi mempergiatkan ekonomi tempatan. (iii) Mempastikan pembangunan secara teratur di pusat-pusat bandar yang sedia ada dengan mengambilkira keadaan tempatan. Selaras dengan tujuan ini pelan-pelan struktur bagi pusat-pusat utama dan pelan-pelan tempatan bagi umpulan-kumpulan pusat-pusat bandar kecil akan disediakan. Pelan-pelan ini akan menjadi garispanduan bagi pembangunan dan pembaharuan semula bandar di samping meningkatkan kecekapan dalam perancangan-perancangan kawasan-kawasan bandar. (iv) Mempercepatkan pembangunan bandar didalam kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah dengan cara mengkaji kemungkinan-kemungkinan memperluaskan liputan dan bidang penglibatan sektor swasta selaras dengan usaha menggalakkan pembangunan kegiatan-kegiatan bandar terutamanya pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan dalam kawasan-kawasan pembangunan wilayah berkenaan. (v) Memperkenalkan konsep memperbandarkan kampung-kampung dengan cara pengelompokan kampung-kampung kecil yang terletak berdekatan bagi dijadikan bandar kecil atau pusat pembangunan desa di mana kegiatan-kegiatan perindustrian kecil, perniagaan dan pertanian secara komersial dapat diwujudkan. Pencapaian
Sungguhpun
pencapaian dari segi pelaksanaan dasar dan masalah yang berbangkit
tidak dapat ditukarkan oleh kerana dasar urbanisasi negara yang
komperhensif masih dalam peringkat persediaan, beberapa
pencapaian telah dihasilkan berikutan daripada
perlaksanaan strategi pembangunan bandar tertentu
sepertimana yang telah dihuraikan di atas.
Dalam
usaha untuk mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang terutama dari segi
pembangunan fisikal, susunan kaum dan penyertaan dalam
kegiataan-kegiataan ekonomi perbandaran, Kerajaan telah dapat mewujudkan
lapan Lembaga Kemajuan Wilayah di kawasan-kawasan pinggiran yang kurang
maju (frontier regions) dan tidak kurang daripada 32 kawasan projek
pembangunan pertanian secara berpadu (IADP'S) di kawasan-kawasan tradisional
(traditional agriculture areas.)
Kesan
daripada kejayaan pelaksanaan usaha-usaha ini telah dicerminkan
oleh peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
di semua negeri.
Walaubagaimanapun
strategi kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan bandar di dalam
kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah agak kurang
berjaya. Walaupun 30 daripada 36 buah bandar baru telah dapat diwujudkan,
bilangan penduduk di bandar-bandar ini pada akhir tahun 1983 hanya berjumlah
89,400 orang. Ini merupakan hanya 30.3% daripada matlamat yang ditetapkan
untuk sehingga 1985. Strategi kerajaan untuk membandarkan kawasan-kawasan
luarbandar terutama di rancangan-rancangan Felda dan kawasan-kawasan In-Situ
yang mundur,juga kurang berjaya. Walaupun bilangan penduduk di
kawasan-kawasan ini tidak menjadi masalah tetapi usaha untuk meluaskan
kegiatan ekonomi perbandaran seperti
perkembangan perkhidmatan, perdagangan dan
runcit serta industri-industri kecil amat terbatas. Ini menyebabkan
pengaliran keluar pendapatan di samping tenaga pekerja ke lain-lain
kawasan terutama ke bandar-bandar yang sedia ada.
Sebagai
satu usaha untuk membaiki keadaan ini kerajaan telah membentuk satu strategi
yang baru iaitu 'Halacara Baru Dalam pembangunan Kampong dan
Luarbandar'. Usaha ini melibatkan pembentukan pusat-pusat pembangunan desa melalui
proses penyatuan kampung-kampung yang berdekatan di samping menggalakkan
penyatuan tanah-tanah pertanian yang tidak ekonomik dari segi saiz dan
pertumbuhan industri-industri kecil kampung. Setakat ini kerajaan telah
pun mengenalpasti sebanyak 27 kampong terutama di negeri-negeri kurang
maju untuk melaksanakan program ini.
Selaras
dengan usaha untuk mempastikan wujud pembangunan secara teratur di
bandar-bandar yang sedia ada kerajaan telah mengenalkan konsep 'Pelan
Struktur' dan 'Pelan Tempatan' (Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976).
Setakat ini banyak bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur,Ipoh, Johor
Bharu, dan Kota Bharu telah mempunyai pelan strukturnya sendiri.
PENCAPAIAN DASAR SEHINGGA 1990
Oleh
kerana Dasar Urbanisasi Negara tidak mempunyai program yang khusus dan
menyeluruh maka sukar untuk kita mengukur dengan tepat prestasi
perlaksanaannya.Dalam mengukur prestasi proses
urbanisasi dua aspek di ambil kira iaitu :-
1.
Penyusunan Semula Masyarakat
(i) Perlaksanaan pembangunan bandar masih lagi tertumpu di bandar-bandar utama sahaja di mana banyak peluang-peluang pekerjaan diwujudkan. Akibatnya bumiputera ketinggalan dalam persaingan dengan bukan bumiputera yang sememangnya telah menguasai kependudukan dan ekonomi bandar-bandar utama. Dengan ini perseimbangan kaum dalam pembahagian ekonomi dan penyusunan masyarakat tidak tercapai. (ii) Peningkatan penduduk di kawasan bandar telah bertambah dari 28.6% pada tahun 1970 kepada 37.5% pada tahun 1980 dan dijangka akan meningkat 44.7% pada dekad 90. Dari peratus pertambahan ini, bumiputera telah bertambah sebanyak 14%. (iii) Hasil dari penghijrahan penduduk bandar dan perluasan pengkelasan semula sempadan bandar saiz sederhana seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Taiping,penduduk bandar telah meningkat 23% lebih cepat dari penduduk luar bandar. (iv) Sehingga akhir tahun 1985,pelan-pelan struktur bagi Kuala Lumpur dan Johor telah disediakan, sementara itu 12 lagi pelan-pelan struktur di antaranya pelan struktur Seberang Perai, Seremban, Kuala Terengganu dalam peringkat penyediaan. (v) Strategi pembangunan bandar baru di kawasan di Lembah Kemajuan Wilayah juga didapati kurang berjaya. Peluang pekerjaan yang bukan pertanian hanya sedikit sahaja dapat diwujudkan di kawasan-kawasan bandar baru. Begitu juga dengan pertumbuhan penduduk,hingga akhir tahun 1985 penduduk bandar baru kurang 1/3 daripada penduduk bandar keseluruhannya. (vi) Dalam usaha UDA untuk menyusun semula masyarakat melalui program pembangunan semula, UDA telah berjaya membangunkan semula beberapa kawasan bandar seperti kawasan Bangsar Utama, kawasan Jalan Raja Abdullah dan juga kawasanTanjung Tokong dan Bukit Jambul di Pulau Pinang. 2. Pengagihan dan Perseimbangan Ekonomi (i) Sumbangan ekonomi bandar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah meningkat dari 66% pada tahun 1970 kepada 70% pada tahun 1980. Pertumbuhan ini dijangka akan meningkat melebihi 70% pada dekad 90. Jelas terbukti ekonomi bandar telah memberi sumbangan besar kepada KDNK. (ii) Sehingga akhir tahun 1988, hasil perangkaan dibuat menunjukkan bahawa hampir keseluruhan ekonomi bandar tertumpu di beberapa kawasan bandar utama seperti Butterworth dan Pasir Gudang. Ini menunjukkan pengagihan ekonomi bandar dan luar bandar tidak berlaku secara seimbang. (iii) Secara keseluruhannya,pendapatan di antara bumiputera dengan bukan bumiputera dalam sektor pembuatan, pembinaan, perniagaan, kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan masih menampakan perbezaan yang ketara. Pendapatan min bumiputera adalah lebih rendah dari pendapatan min bukan bumiputera (iv) Ketidakseimbangan juga wujud di antara wilayah. Wilayah-wilayah yang sedia maju seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor masih mempunyai KDNK per kapita yang tinggi jika dibandingkan dengan wilayah-wilayah lain seperti Wilayah Utara atau Wilayah Timur. (v) Dalam hal mengseimbangkan ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, proses urbanisasi telah berjaya menambah pemilikan equiti bumiputera dalam sektor koporat dari tahun 1970 - 1988 sebanyak 17% sementara bukan bumiputera sebanyak 21.7%. Penutup
Pembangunan
bandar yang ada dan yang akan diadakan selaras dengan usaha
pembentukan satu Dasar Urbanisasi Negara yang komprehensif amatlah penting
bagi menjamin pencapaian kepada matlamat pembangunan negara. Hasrat kerajaan
ialah untuk mempastikan supaya proses urbanisasi, corak dan tahap pembangunan
matlamat DEB secara lebih berkesan lagi.
Setelah
melihat perkembangan ekonomi dan pengaruh kependudukan membuktikan bahawa
satu dasar urbanisasi yang komprehensif haruslah dilaksanakan dengan
segera untuk mencapai matlamat pembangunan negara dan DEB.Tanpa dasar yang
lengkap akan menyebabkan pertumbuhan bandar yang tidak seimbang dan
seterusnya tidak membantu pembangunan negara sepenuhnya. Penumpuan aktiviti
sosioekonomi di beberapa bandar tertentu sahaja juga akan merugikan penduduk
bumiputera yang kebanyakannya tinggal di luar bandar.
|